KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 peserta menyertai HKL Fun Run 2025 sebagai inisiatif bagi menyokong pelbagai program kebajikan yang diadakan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini hari ini.
Program berkenaan merupakan anjuran bersama HKL dan Malaysian Society of Wound Care Professionals (MSWCP) dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat di samping menyokong pelbagai inisiatif kebajikan oleh pihak hospital.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah merasmikan acara HKL Fun Run 2025 dan melancarkan sesi pelepasan ‘Flag-Off’ sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran larian tersebut yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi.
“Hari ini saya datang untuk lancarkan ‘Flag-Off’, larian istimewa yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Wilayah Persekutuan dan larian HKL.
“Kalau kita lihat tadi, ada empat larian dan ini adalah gabungan yang bagus bersama DBKL. Jadi kita memang mengalu-alukan lebih banyak lagi pihak yang mahu menganjurkan larian seperti ini untuk hubungi DBKL, boleh buat bersama dan tak perlu buat secara berasingan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah HKL, Datuk Dr. Harikrishna K.R. Nair berkata, acara larian ini bukan sekadar aktiviti sukan, sebaliknya menjadi platform untuk memupuk kesedaran kesihatan dan menyokong program kebajikan hospital.
“Acara ini bukan sekadar aktiviti sukan, malah menjadi wadah untuk memupuk kesedaran kesihatan serta menyokong usaha kebajikan hospital demi kesejahteraan komuniti yang memerlukan menerusi penyertaan dalam dua kategori larian iaitu 3 kilometer dan 5 kilometer,” katanya.
Tambahnya, HKL turut menerima sumbangan RM20,000 daripada MSWCP bagi pembelian pakaian korporat staf hospital serta menyumbangkan hamper keperluan kepada tiga rumah anak yatim sebagai tanda prihatin kepada komuniti.
Dalam pada itu, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti pemeriksaan kesihatan percuma, pemeriksaan kaki untuk pesakit diabetes, serta sesi pendidikan pemakanan.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif serta barisan pengurusan tertinggi HKL yang bersama memeriahkan acara. -KOSMO! ONLINE