Karim Ibrahim kembali pimpin Olahraga Malaysia

9 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Datuk Karim Ibrahim kembali memimpin kerusi No. 1 Olahraga Malaysia bagi penggal 2025–2028 selepas memenangi saingan dua penjuru pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu di Wisma MOM, di sini hari ini.

Karim yang juga Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP) berjaya memperoleh 25 undi daripada keseluruhan 39 perwakilan, menewaskan pencabarnya Datuk Mark William Ling Lee Meng yang meraih 14 undi sekali gus dipilih bagi Presiden baharu 2025-2028.

Keputusan tersebut membolehkan Karim menggantikan tempat mantan Presiden, Datuk Shahidan Kassim yang membuat keputusan mengejut tidak mempertahankan jawatan tersebut sebelum proses pemilihan.

“Saya berterima kasih atas kepercayaan untuk kembali menerajui Olahraga Malaysia bagi penggal 2025 hingga 2028.

“Saya juga mohon secara jujur agar segala kata-kata buruk semasa kempen dapat ditepikan dan kita semua bersatu demi masa depan olahraga. Mari kita buka buku baru dan terus mencipta kejayaan,” katanya.

PRESIDEN Olahraga Malaysia (MA) baharu, Datuk Karim Ibrahim (kiri) bersalaman bersama mantan presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Beliau yang pernah menerajui Olahraga Malaysia bagi penggal 2014-2019 itu sebelum ini juga menegaskan komitmen untuk mengaktifkan semula program pembangunan bakat dan seterusnya ke atlet berprestasi tinggi.

“Kita harus bersatu dan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk membawa olahraga Malaysia ke tahap lebih membanggakan,” katanya.

Pemilihan kali ini turut menyaksikan perubahan besar dalam barisan pentadbiran apabila Datuk Wan Hisham Wan Salleh berjaya dipilih sebagai Timbalan Presiden selepas meraih 22 undi, mengetepikan dua pencabar lain iaitu Mohamat Hassan (9 undi) dan Sallehuddin Satar (5 undi), manakala tiga undi rosak direkodkan.

Dalam persaingan bagi kerusi Naib Presiden juga tidak kurang hebatnya apabila tiga calon berjaya mengisi jawatan tersebut.

Undian tertinggi menjadi milik Prof. Dr. Mohamed Rusli Abdullah yang cemerlang dengan 29 undi, diikuti rapat oleh Datuk R. Annamalai (24 undi) dan Padmanathan Nagappan (22 undi).

Seorang lagi calon, Josephine Kang Teok Koon diberikan peranan sebagai Naib Presiden bagi bagi mengisi kuota wanita. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |