Piala Dunia Kelab: Miami buntu, Messi nyaris jadi wira

11 hours ago 4

MIAMI – Aksi pembukaan Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 menyaksikan Inter Miami gagal memanfaatkan kehadiran Lionel Messi, apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang juara Mesir, Al Ahly di Stadium Hard Rock hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di depan lebih 60,000 penyokong itu bermula lewat susulan acara pembukaan, namun tetap menampilkan aksi pantas dan deretan peluang meskipun berakhir tanpa sebarang jaringan.

Al Ahly lebih dominan di separuh masa pertama dan hampir mendahului menerusi jaringan Wessam Abou Ali tetapi dibatalkan kerana kedudukan ofsais.

Trezeguet juga gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas diselamatkan penjaga gol Miami, Oscar Ustari yang bertindak cemerlang sepanjang perlawanan.

Miami yang dibimbing Javier Mascherano bangkit di babak kedua dengan harapan kepada keajaiban Messi, namun kapten Argentina itu melepaskan enam percubaan termasuk satu sepakan percuma yang sedikit tersasar daripada sasaran.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-84 apabila hantaran silang Messi ditanduk Fabrice Picault sebelum ditepis Mohamed El Shenawy, yang kemudian muncul wira Al Ahly selepas menyelamatkan dua percubaan terbaik Miami di penghujung perlawanan.

Di sebalik usaha luar biasa Messi, Miami gagal mencipta kombinasi ampuh dan barisan tengah mereka longgar dan terlalu bergantung kepada seorang pemain untuk mencetuskan serangan, menjadikan corak permainan mudah dibaca lawan.

Ketiadaan kreativiti berpasukan dan penyudah klinikal menjadikan Messi seperti berjuang sendirian iaitu satu kegagalan taktikal yang seharusnya membimbangkan Miami.

Keputusan seri itu dilihat merugikan Miami yang sepatutnya mengutip tiga mata sebelum bertemu pasukan lebih kuat seperti Porto dan Palmeiras yang akan turun membuka aksi di Stadium MetLife, New Jersey malam ini.

Messi jelas tampil berusaha keras, termasuk turun bertahan menghentikan serangan balas lawan, namun tanpa sokongan sepasukan yang lebih tajam, ia tidak cukup untuk membawa kemenangan. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |