SEREMBAN – Seorang ibu kepada empat anak terpaksa bergantung kepada mesin oksigen selepas disahkan menghidap kanser payudara tahap empat sejak dua tahun lalu.
Sahlawati Ab Ghani, 56, berkata, ekoran penyakit itu berat badannya kini susut sehingga 34 kilogram (kg) selain bergantung kepada suami untuk mandi dan pergerakan seharian.
“Kanser mula dikesan pada 2023, dan ia merebak ke bahagian kiri dan keadaan itu telah menghimpit paru-paru kanan sehingga menjejaskan pernafasan.
“Disebabkan itu saya terpaksa menggunakan mesin oksigen di rumah dan silinder gas mudah alih ketika keluar,” katanya ketika ditemui di Kampung Rawa Lenggeng di sini.
Sahlawati berkata, dia kini bergantung sepenuhnya kepada rawatan kemoterapi yang dijalankan sebulan sekali di Hospital Tuanku Ja’afar dan ubat dari Institut Kanser Negara (IKN).
“Setiap kali sesi kemoterapi, saya akan rasa loya, muntah dan tiada selera makan hampir seminggu. Berat saya turun daripada 54 kg ke 34 kg sekarang, tapi saya masih kuatkan diri masak dan urus kerja rumah. Jangan serah kalah,” katanya yang telah selesai enam sesi kemoterapi.
Sahlawati berkata, meskipun suaminya adalah pesara tentera berusia 58 tahun, mereka semenangnya mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Majlis Agama Islam (Baitulmal).
“Setakat ini, saya hanya menerima bantuan mySalam sebanyak RM8,000 ‘one off’ untuk penyakit kritikal dan bayaran RM150 sehari ketika dimasukkan ke hospital, namun hanya terhad untuk 14 hari setahun.
“Perbelanjaan bulanan saya untuk rawatan, ubat dan keperluan asas lebih kurang RM300. Kami cuba bertahan setakat yang mampu,” katanya.
Walaupun mengalami kesan sampingan seperti luka merekah, batuk berpanjangan, dan rambut gugur akibat rawatan, Sahlawati tetap menasihatkan pesakit kanser lain supaya terus kuat dan tidak mengalah kepada tekanan emosi.
“Kalau kita ‘depress’, kita lagi cepat kalah. Kena rasa kita sihat. Kena positif. Anak-anak saya semua bagi semangat, tolong kerja rumah, itu yang buat saya kuat,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban kos rawatan dan keperluan harian Sahlawati boleh menghubunginya terus di talian 013-6773171.