Tiada cadangan naikkan harga gula

20 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Felda menegaskan tiada cadangan untuk menaikkan harga gula ketika ini susulan bantuan insentif yang disalurkan kerajaan kepada syarikat pengeluar gula utama negara, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, MSM yang dimiliki oleh FGV Holdings Berhad (FGV) dan Koperasi Permodalan Felda sebelum ini berdepan kerugian berikutan harga gula mentah dunia yang tinggi, sedangkan harga jualan dalam negara dikawal kerajaan.

Menurut beliau, keadaan tersebut pernah menyebabkan peneroka secara tidak langsung menanggung beban apabila setiap satu kilogram gula yang dijual di pasaran pengguna disubsidikan kira-kira RM1, sekali gus mengurangkan dividen yang mereka terima.

“Harga gula bukan sekadar memberi kesan kepada minuman, tetapi juga pelbagai produk makanan lain yang menggunakan gula.

“Keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan pendapatan peneroka sebagai pemegang saham,” katanya pada pelancaran Festival FGV 2025 dan Aplikasi FGV Edugames di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Ahmad Shabery berkata, langkah kerajaan Madani menyalurkan insentif telah membantu MSM mengurangkan kerugian, sekali gus memberi manfaat kepada peneroka Felda yang merupakan pemegang saham syarikat berkenaan.

“Dengan bantuan kerajaan ini, bukan sahaja pengguna mendapat manfaat, malah peneroka Felda juga gembira kerana pendapatan mereka tidak terjejas.

“Tiada perbincangan untuk menaikkan harga gula selagi kerajaan meneruskan pemberian insentif ini. Tempohnya bergantung kepada keputusan kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Shabery turut memuji penganjuran karnival mega sempena Hari Peneroka tahun ini yang disifatkan sebagai sinergi berkesan antara Felda, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta agensi berkaitan.

Penganjurkan festival tersebut bersempena dengan Hari Peneroka Felda 2025 dalam Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) yang berlangsung di MITEC pada 30 Julai hingga 3 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |