CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan kompaun sebanyak RM100,000 masing-masing terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad (Sin Chew) dan Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. (Sinar Harian) selepas menerima izin mengkompaun daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
MCMC dalam satu kenyataan berkata, tindakan terhadap Sin Chew diambil susulan siasatan MCMC mendapati organisasi tersebut memuat naik ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap di akhbar digital miliknya.
Kata kenyataan itu, Sinar Harian pula dikenakan kompaun berikutan siaran di akaun Instagram rasmi organisasi tersebut yang memuat naik profil mengandungi maklumat tidak benar mengenai Ketua Polis Negara.
“Dakwaan yang dibuat melibatkan jawatan kepimpinan tertinggi sebuah parti politik
tempatan.
“Kedua-dua siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], dengan hukuman seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 233(2).
“Manakala tindakan kompaun dibuat menurut Seksyen 243 akta yang sama,” katanya hari ini.
MCMC menegaskan, Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan maruah negara yang wajib dipaparkan dengan tepat serta penuh hemah pada setiap masa.
“Pada masa sama, penyebaran kandungan palsu yang melibatkan institusi
keselamatan negara boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keyakinan masyarakat terhadap pihak berkuasa.
“Sehubungan itu, semua organisasi media dan pengguna media sosial diingatkan agar sentiasa memastikan ketepatan serta kesahihan kandungan diterbitkan.
“Ia khususnya apabila membabitkan lambang dan simbol rasmi dan MCMC akan terus memperkukuh penguatkuasaan dan melaksanakan pelbagai inisiatif literasi digital bagi memastikan keharmonian serta kestabilan negara terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE