PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan UEM Lestra Berhad (UEM Lestra) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka secara bersama pelaksanaan projek solar berskala besar (LSS) yang akan bermula dengan pembangunan ladang solar di tanah milik PLUS di Ayer Keroh, Melaka.
UEM Lestra adalah anak syarikat UEM Group Berhad (UEM Group) dan ia dikenali kerana memiliki portfolio tenaga boleh baharu yang terbukti serta keupayaan teknikalnya menerajui perancangan dan penilaian kebolehlaksanaan projek LSS.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen syarikat dalam memainkan peranan proaktif terhadap pembangunan lestari dengan memanfaatkan infrastruktur dan aset tanah strategik syarikat untuk menjana tenaga boleh diperbaharui serta menyokong sasaran sifar bersih negara.
“Inisiatif ini juga menyokong pelan jangka panjang PLUS ke arah lebuh raya yang selamat, lestari dan pintar, sekali gus mengukuhkan lagi peranan kami sebagai rakan pembangunan negara yang menerajui inovasi dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Projek kerjasama ini merangkumi cadangan pembangunan ladang solar di atas tanah seluas 80 hektar di Ayer Keroh.
Keseluruhan pelan induk tersebut melibatkan keluasan 135.2 hektar untuk projek pembangunan bercampur yang merangkumi komersial dan perumahan di bawah fasa 1 dan 3.
Tambah beliau, inisiatif ini juga turut menyokong pelan jangka panjang PLUS ke arah lebuh raya yang selamat, lestari dan pintar, sekali gus mengukuhkan lagi peranan syarikat sebagai rakan pembangunan negara yang menerajui inovasi dan pemeliharaan alam sekitar.
Jelasnya, ia juga merangkumi usaha bersama untuk mengenal pasti tapak-tapak lain yang bersesuaian dengan tujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan menyokong agenda kelestarian negara. -KOSMO! ONLINE
,