PETALING JAYA – Seorang lelaki meluahkan rasa kecewa apabila isterinya yang merupakan suri rumah sepenuh masa didakwa berlaku curang dengan lelaki dari negara jiran, Indonesia.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman X miliknya, lelaki itu mendakwa isterinya menjalin hubungan cinta secara dalam talian selama sebulan, meskipun mereka sudah mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu.
“Tiga tahun perkahwinan kalah dengan satu bulan hubungan fantasi atas talian,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Menurut lelaki berkenaan, dia bekerja dari pagi hingga petang dan berusaha menyediakan segala keperluan isterinya termasuk telefon bimbit untuk tujuan panggilan video (VC), ‘on the phone’ (OTP) setiap malam dan bermain permainan video.
Bagaimanapun, si isteri tergamak menyembunyikan status perkahwinannya dengan mengaku masih bujang di media sosial, selain gemar mempamerkan gaya hidup mewah.
“Patutlah dia tak bagi saya tengok akaun X dia, rupa-rupanya mengaku single. Siap tayang bercuti, barang mewah dan macam-macam lagi. Elok sangatlah tu,” luahnya.
Lebih memilukan, ketika berlaku pertengkaran dalam rumah tangga, wanita itu memberi alasan tidak mahu tidur bersama, kononnya kerana ingin bermain permainan video, namun sebenarnya melakukan ‘sleep call’ bersama kekasihnya.
“Mereka kenal dari X, mula dengan curhat hari-hari, lama-lama jatuh hati. Dua-dua tak bekerja, jadi setiap hari boleh OTP, VC dan main ‘game’ sama-sama,” katanya.
Lelaki berkenaan akhirnya mendedahkan status sebenar isterinya kepada lelaki dari seberang itu, dan difahamkan individu terbabit berasa bersalah selepas mengetahui dirinya menjadi perosak rumah tangga orang.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap nasib si suami selain menitipkan kata-kata semangat buatnya.
“Semoga dipermudahkan urusan kamu. Fokuslah untuk mencari ketenangan jiwa dan diri. Jangan dengar sangat cakap orang buat itu buat ini. Kau buat je apa yang kau rasa bawa kebaikan untuk kau,” ujar seorang pengguna.
“Ya Allah, tak bersyukurnya isteri dia padahal tinggal duduk je di rumah dan layan suami. Tapi malah curang dengan lelaki lain,” komen pengguna lain. – KOSMO! ONLINE