Shahidan umum tarik diri pertahan kerusi No. 1 Olahraga Malaysia

10 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Seri Shahidan Kassim membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan menarik diri daripada bertanding mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan penggal 2025-2028.

Pengumuman itu dibuat selepas beliau menyampaikan ucapan perasmian sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-22 di Wisma OCM, disini hari ini.

Keputusan mengejut tersebut sekali gus membuka laluan kepada Datuk Mark William Ling Lee Meng dan Datuk Karim Ibrahim (Perak) untuk merebut kerusi No. 1 Olahraga Malaysia selepas Datuk Wan Hisham Wan Salleh (Terengganu) turut menarik diri.

Shahidan berkata, keputusan untuk menarik diri dibuat atas dasar pengorbanan dan perpaduan, bukan disebabkan tekanan atau kekurangan sokongan.

“Saya membuat keputusan untuk tidak bertanding walaupun secara peribadi, saya yakin mampu memenangi pemilihan kali ini.
Namun, saya memilih untuk mengundurkan diri dalam keadaan menang, agar kemenangan itu dapat dipindahkan kepada pemimpin baharu,” katanya.

Shahidan tarik diri pertahan kerusi No. 1 Olahraga Malaysia

Menurut beliau, langkah itu diambil bagi meredakan ketegangan dalaman dalam kalangan ahli gabungan yang wujud sejak beberapa minggu lalu menjelang pemilihan AGM.

“Saya tidak mahu polemik ini berlarutan. Tidak perlu dibawa ke media, kerana hanya 39 orang yang akan mengundi. Maka, sewajarnya perkara ini diselesaikan secara tertutup dan harmoni,” ujarnya.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau menegaskan bahawa beliau akan terus memainkan peranan dalam pembangunan sukan negara menerusi jawatan-jawatan lain, termasuk dalam sukan renang, selain menerajui Persatuan Olahraga Perlis.

“Saya memegang banyak jawatan dalam dunia sukan. Kali ini, saya berikan peluang kepada rakan-rakan lain untuk membawa perubahan di peringkat kebangsaan. Apapun, terima kasih semua, jumpa di kolam renang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |