MELAKA – Dua premis kedai serbaneka 24 jam dirompak dalam tempoh sehari, manakala seorang pekerja turut parah selepas dipukul suspek menggunakan kayu besbol dalam kejadian semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian pertama, suspek telah melakukan rompakan di Bukit Baru kira-kira pukul 4.40 pagi dengan berpura-pura mahu membeli tambah nilai Touch ‘n Go.
“Suspek bagaimanapun tiba-tiba menarik keluar laci juruwang sebelum tindakan itu dihalang oleh seorang pekerja lelaki berusia 20-an.
“Suspek kemudian mengeluarkan sebatang kayu besbol yang dibalut kain hitam dan memukul kepala mangsa sebelum melarikan diri dengan membawa laci mengandungi wang tunai dianggarkan RM300,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil siasatan forensik di lokasi berjaya menemui tiga kesan cap jari dan dua sampel darah yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Katanya, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) turut sedang dianalisis bagi membantu siasatan.
“Pada hari sama, satu lagi kejadian cubaan samun dilaporkan di Bukit Katil dan suspek dikatakan memakai pakaian penghantar makanan berwarna oren dan topi keledar biru menggunakan modus operandi serupa.
“Suspek menyerahkan wang RM100 kononnya untuk membeli tambah nilai RM50 dan ketika mangsa mahu memberikan baki, suspek memasukkan tangan ke dalam laci wang menyebabkan berlaku pergelutan,” ujarnya.
Jelasnya, mangsa telah dipukul menggunakan besi jenis tripod namun hanya mengalami kecederaan ringan di pergelangan tangan dan tiada wang tunai dilaporkan hilang dalam cubaan samun itu.-KOSMO! ONLINE.