Shahidan optimis kekal presiden MA

9 hours ago 7

PRESIDEN Olahraga Malaysia (MA), Datuk Seri Shahidan Kassim memberi bayangan untuk mengekalkan jawatan yang disandang menjelang pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu hari ini.

Beliau percaya setiap perwakilan tahu niat serta usaha yang dilakukan beliau sepanjang memimpin MA, sekali gus yakin untuk mendapat sokongan penuh.

Shahidan berkata, beliau bukanlah seorang individu yang gemar untuk menabur janji selain memberi bayangan mengekalkan sifat terbuka sudah diterapkan dalam kepimpinannya setakat ini.

“Saya percaya kawan-kawan tahu niat dan usaha baik saya, mereka akan berikan sokongan. Sekiranya mereka nak berikan sokongan kepada mana-mana pihak pun, boleh (juga) berbuat demikian.

“Semua jawatankuasa saya berikan hak dan kebebasan bertindak tetapi kalau ada yang kata ‘ini kesalahan presiden’, itu tak (betul). Kalau ada berlaku apa-apa, masing-masing kena ambil tanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan turut menjelaskan, beliau bukanlah pemimpin yang meletakkan kesalahan di bahu orang lain selain sentiasa mengambil tanggungjawab atas setiap isu yang timbul.

“Apabila ada sesuatu perkara yang tidak betul berlaku, kita boleh salahkan orang lain. Salahkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum tuju kepada orang lain. Kalau semua orang salah dan kita sempurna, itu tidak betul,” ujarnya.

Menjelang pemilihan hari ini, Shahidan berdepan saingan empat penjuru apabila dicabar Timbalan Presiden MA, Datuk Mark William Ling, Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), Datuk Karim Ibrahim serta Presiden Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Shahidan dianggap sebagai pilihan untuk mengekalkan jawatan tersebut apabila mendapat empat pencalonan daripada ahli gabungan berbanding Mark Ling (dua), manakala Karim dan Wan Hisham masing-masing dengan satu pencalonan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |