KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima sebanyak tiga laporan polis berhubung penipuan pakej haji melibatkan warga emas yang dipercayai menjadi mangsa dikurung dan dipaksa meredah laluan berisiko di Arab Saudi.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, laporan dibuat oleh ahli keluarga jemaah yang berada di Malaysia dan pihaknya kini sedang meneliti perkara itu secara serius.
“Sehingga pukul 6 petang, semalam, tiga laporan polis telah diterima melibatkan tiga individu berbeza iaitu dua di Mantin, Negeri Sembilan dan satu di Ayer Hitam, Johor.
“JSJK telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada wujud individu atau agensi tempatan yang bertindak sebagai ejen pemudah dalam penawaran pakej haji berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, siasatan masih berada di peringkat awal dan pihaknya belum dapat mengesahkan kewujudan elemen penipuan rentas sempadan.
“Keterangan dan bukti sedang dikumpul, kemungkinan sindiket tersebut bekerjasama dengan ejen tertentu atau pun tidak.
“Pihak polis (sedang) menunggu kepulangan mangsa-mangsa untuk dirakam percakapan dan mengambil tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Tambah Muhammed Hasbullah, pihak JSJK juga bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia , Lembaga Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi menyenarai hitam syarikat-syarikat yang menawarkan pakej haji tanpa kelulusan sah.
“Langkah ini penting bagi melindungi rakyat daripada menjadi mangsa penipuan,” jelasnya.
Muhammed Hasbullah berkata, pihaknya komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penipuan ini.
Semalam, media melaporkan, perjalanan 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.
Warga emas yang menjadi mangsa bertolak ke Arab Saudi untuk mengerjakan haji bersama ejen berkenaan pada 9 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE