Speedy Tigers galas misi wajib menang

12 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Misi skuad hoki lelaki kebangsaan bagi memburu slot ke perlawanan akhir pada kejohanan Piala Asia 2025 masih belum berakhir meskipun tewas 1-4 kepada tuan rumah, India dalam aksi kedua Super 4 malam tadi.

Keputusan itu menyebabkan perebutan ke perlawanan akhir kembali terbuka dengan kesemua pasukan dalam saingan Super 4 termasuk India, Malaysia, China dan Korea Selatan masih mengintai peluang.

Justeru, Malaysia tidak memiliki cara selain wajib menewaskan Korea Selatan yang merupakan juara bertahan pada perlawanan terakhir Super 4 esok bagi menempah slot ke pusingan dua terbaik.

Ketua jurulatih pasukan negara, Sarjit Singh berkata, skuad kendaliannya tidak berada dalam keadaan sukar tetapi beliau masih mahukan anak-anak buahnya mencatat kemenangan ke atas Korea.

“Kita bukan berada dalam keadaan sukar pada ketika ini tetapi peluang (ke final) itu masih ada tetapi dengan satu syarat, iaitu perlu menewaskan Korea Selatan pada aksi terakhir Super 4 nanti.

“Persembahan kita bagus dan bertambah baik, jadi saya harap kita mampu untuk melangkah ke final. Masih ada beberapa perkara perlu diperbaiki, termasuk dari segi kawalan ke atas pemain lawan,” katanya.

Berdasarkan pertemuan di peringkat Kumpulan B sebelum ini, Speedy Tigers memiliki peluang cukup cerah untuk mencatat kemenangan ke atas Korea memandangkan pernah membelasah pasukan itu 4-1.

Sementara itu, Sarjit turut mengakui, anak-anak buahnya mempamerkan aksi cukup baik pada suku masa pertama ketika bertemu India sehingga berjaya melakukan jaringan seawal minit kedua sebelum prestasi merudum di suku masa seterusnya.

“Pada 15 minit awal, memang kita bermain dengan baik tetapi selepas itu kita ada melakukan beberapa kesilapan, terutamanya di suku kedua yang mana Malaysia melepaskan tiga gol,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |