Sindiket tembakau sebabkan ketirisan cukai lebih RM250 juta digempur

3 weeks ago 13

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur syarikat-syarikat dipercayai terlibat penyeludupan tembakau, rokok dan cerut hingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai lebih RM250 juta sejak tahun 2020 hingga tahun 2024.

Serbuan dijalankan semalam menerusi operasi bersepadu Op Sikaro itu diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di 14 lokasi sekitar Lembah Klang dan Johor.

Menurut sumber, serbuan itu dijalankan ke atas premis-premis perniagaan dan pemilik-pemilik syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan tembakau, cerut dan pembekal minuman keras.

“Hasil serbuan, SPRM telah membekukan akaun perbankan persendirian dan syarikat dengan melibatkan nilai kira-kira RM218 juta.

“Manakala, pihak JKDM turut menggantung lesen import beberapa syarikat yang dikenal pasti terlibat dengan kegiatan berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Sumber berkata, sindiket ini dipercayai turut melibatkan pegawai agensi penguatkuasa dan siasatan akan menumpukan kepada usaha mengesan serta menyita aset-aset lain mereka yang terlibat melalui aktiviti pengubahan wang haram.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan serbuan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“Siasatan juga akan dibuat menerusi Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |