PETALING JAYA – Pelakon, penyanyi dan pelawak Isma Aliff yang diserang angin ahmar sejak beberapa tahun lalu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Ampang pada pukul 8 pagi tadi.
Berita duka itu disahkan adiknya, Shamsidar Ismail, yang memaklumkan abangnya sudah seminggu terlantar serta tidak boleh bercakap disebabkan sakit tekak.
“Sejak minggu lalu abang kurang sihat, susah nak berbual macam biasa kerana sakit tekak. Tahap kesihatannya pun menurun serta lebih banyak berbaring.
“Pagi tadi saya singgah ke rumahnya untuk tengok keadaan abang sebelum ke sekolah. Saya kembali semula dalam pukul 8 pagi.
“Waktu itu abang sudah nampak lain. Saya ajar abang mengucap, kemudian dia ‘pergi’ dengan tenang. Allah lebih sayangkannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Menurut Shamsidar, jenazah Isma atau nama lengkapnya Muhammad Latiff Ismail, 61, masih berada di rumahnya di Kampung Melayu Ampang.
“Saya sudah hubungi pihak hospital. Ambulan dengan petugas kesihatan pun ada sekarang untuk mengesahkan keadaannya.
“Belum dapat dipastikan urusan mandi jenazah atau lokasi pengkebumian. Saya akan maklumkan nanti. Terima kasih,” ujarnya.
Terdahulu, Allahyarham pernah ditidurkan akibat serangan angin ahmar pada Disember 2023 sekali gus membuatkannya lumpuh sebelah kiri tubuh.
Biarpun menggalas status orang kelainan upaya (OKU), Isma optimis dalam menjalani kehidupan malah sedia untuk kembali ke pentas seni bagi mencari rezeki.
Beliau juga pengacara popular yang memulakan kerjaya dalam bidang seni pada tahun 1986 menerusi program di stesen televisyen RTM menyerlah menerusi filem Marah Marah Sayang dan Mawar Merah.
Antara naskhah lakonannya di layar perak termasuk Sayang Ibu, Jaket Biru, Kembar Siam, Romeo dan Budak Lapok Osman (suara latar), selain kerap muncul membintangi drama.
Di puncak kerjayanya, anak jati Kuala Lumpur itu turut menghasilkan empat album iaitu Eksyen Saja, Dengar Tau, Kembara Duka serta Macam-Macam Ada.
Kali terakhir Isma beraksi dalam program realiti adalah bersama pada program Maharaja Lawak Mega 2013 di bawah kumpulan Osama bersama Allahyarham Mr. Os. – KOSMO! ONLINE

23 hours ago
5
















































