Sel kanser kembali aktif, Elyana elak ‘oversharing’ soal kesihatan

2 weeks ago 14

SHAH ALAM – Disahkan bebas kanser limfoma pada Disember 2021, penyanyi Elyana mendedahkan sel barah tersebut kembali aktif selepas berhenti menjalani kimoterapi.

Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal, 39, mengakui sel kanser tersebut kembali ‘hidup’disebabkan dia tidak meneruskan rawatan kimoterapi seperti disarankan doktor.

“Masa kimoterapi terakhir saya, kira-kira tiga tahun lalu, doktor beritahu sel kanser sudah tiada tetapi dia sarankan untuk sambung buat kimoterapi.

“Namun saya jenis tak dengar cakap, ingat nak berehat dan tarik nafas dahulu sebab dah terlalu kerap dan lama buat kimoterapi.

“Dua tahun kemudian, saya pergi buat kimoterapi balik. Apabila buat pemeriksaan, doktor nampak sel hidup balik. Nasib baik saya cepat buat kimoterapi,” katanya kepada Kosmo! Online semasa majlis perasmian Festival Ramadan Selangor 2025 di SACC Mall, Shah Alam, semalam.

Ditanya mengenai jarang berkongsi keadaan kesihatan, pelantun lagu Tapak Sulaiman itu mengakui mudah terasa dengan kata-kata netizen sehingga membuat keputusan tidak lagi memuat naik hal peribadi secara berlebihan.

“Terasa hati memang ada, tipu kalau kata tiada tetapi saya sedar dahulu saya terlebih berkongsi.

“Ada orang akan ambil positif dan juga ada yang ambil negatif. Bila tengah sakit, saya tidak boleh mengendalikan komen buruk.

“Jadi sekarang, lebih baik saya kongsi apa yang patut sahaja,” ujarnya lagi.

Bercerita lanjut, Elyana memaklumkan kesihatannya dalam keadaan baik dan sudah menerima takdir yang harus dijalani demi membesarkan dua puterinya.

“Setakat ini kesihatan saya pun tiada masalah, boleh menyanyi lagi. Bila sakit, emosi kadang-kadang ada naik dan turun, saya kena belajar kawal lagi perasaan tersebut.

“Saya sakit dah sangat lama dan sekarang saya sudah berdamai dengan keadaan, ini ujian hidup saya. Jangan fikir sakit, nanti semua benda tak jadi.

“Sakit hanya sekadar sakit, hidup harus diteruskan. Anak-anak perlu diberi makan dan pelajaran yang baik, jadi kena semangat dalam meneruskan kehidupan,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |