KEKALAHAN Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada pusingan kedua Kejohanan Badminton All England awal pagi semalam menyaksikan cabaran Malaysia dalam acara beregu lelaki sudah berakhir.
Pada perlawanan yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham, pasangan No. 2 dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan straight set 16-21, 13-21 kepada beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Sze Fei tanpa berselindung mengakui pemain lawan menampilkan aksi lebih baik berbanding mereka selain menjelaskan, dia gagal memainkan peranan dengan baik bagi membuka ruang buat Izzuddin melakukan serangan.
“Pada perlawanan hari ini (semalam), mereka menampilkan corak permainan lebih laju selain berjaya mengawal tempo permainan. Saya juga gagal untuk memainkan peranan dengan baik ketika permainan di jaring.
“Dalam pada itu, saya juga cuba untuk membuka peluang kepada Izzuddin melakukan serangan ke arah lawan tetapi ia tidak membuahkan hasil,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Keputusan itu menyaksikan Won Ho-Seung Jae dapat melunaskan dendam terhadap Sze Fei-Izzuddinyang mesra disapa DinFei dalam kalangan peminat, selepas tewas kepada pasangan tersebut pada final Terbuka India, Januari lalu.
Walaupun tersingkir di pusingan kedua, namun ia merupakan pencapaian terbaik buat Sze Fei-Izzuddin dalam saingan All England selepas tiga kali terkandas di pusingan pertama pada edisi 2020, 2022 dan 2024.
“Mereka sudah dapat membaca strategi kami sejak daripada awal permainan selain tidak banyak melakukan pukulan lambung. Keadaan itu menyebabkan kami sukar untuk melakukan serangan,” ujar Izzuddin.
Sebagai rekod, kemarau kejuaraan All England dalam acara beregu lelaki masih berterusan selepas kali terakhir ia dimenangi gandingan emas negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.