‘Saya tidak sedap hati bila tahu ada kemalangan babitkan kereta warna putih’

1 week ago 16

ALOR SETAR – Dua remaja yang maut dalam kemalangan di Tanjung Bendahara, di sini malam tadi dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat tarawih di Masjid Zahir bersama tiga rakan mereka yang cedera.

Muhammad Dhani Arumi Mohd. Azlan dan Muhammad Danish Iqbal Mohd. Niza masing-masing berusia 18 tahun terkorban setelah kereta dinaiki bersama tiga lagi rakan terbabas dan melanggar tiang, pokok kelapa dan hentian bas pada pukul 10.28 malam.

Bapa Muhammad Danish Iqbal, Mohd. Niza Nazari, 49, berkata, anak sulungnya itu keluar kira-kira pukul 8.30 malam untuk ke masjid bersama rakan-rakannya.

“Saya menerima panggilan daripada polis pada pukul 1 pagi tadi memaklumkan anak meninggal dunia akibat kemalangan, berderau darah.

“Saya melalui kawasan itu pada pukul 11 malam untuk membeli bihun sup di gerai tidak jauh dari lokasi kemalangan. Saya lihat kemalangan di situ, tetapi tidak berhenti tengok sebab jalan sesak.

“Saya sudah tidak sedap hati apabila peniaga gerai beritahu kemalangan melibatkan kereta putih sebab Iqbal keluar tadi naik kereta putih bersama kawan dia.

“Kami reda dengan ketentuan Allah SWT, Iqbal anak yang baik dan dia rancang mohon IPG (Institut Pendidikan Guru), tetapi tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Suasana di jabatan forensik sayu apabila keluarga kedua-dua mangsa berkumpul untuk menuntut jenazah. Turut kelihatan rakan sekolah yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Sementara itu, ibu Muhammad Dhani Arumi, Sharifah Nur Afzan Syed Abdul Rahman, 48, memberitahu, menjadi rutin anak tunggal lelakinya keluar menunaikan tarawih setiap malam.

“Biasanya arwah keluar naik motosikal bersama rakan lain tetapi malam tadi, dia keluar bersama rakan yang lain naik kereta. Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi sebelum keluar dia bawa beg, tidak seperti biasa.

“Saya tanya kenapa? Dia jawab nak minum selepas tarawih. Sebelum itu saya perasan dia puji masakan saya sedap dan gembira ketika berbuka,” katanya yang memberitahu, jenazah anak ketiga daripada empat beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Alor Merah, hari ini.

Kosmo! Online malam tadi melaporkan dua remaja lelaki maut, manakala tiga lagi parah selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki terlibat kemalangan di Jalan Tanjung Bendahara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |