Saya hormat, penat cari duit, ini balasan diterima – Aliff Syukri

1 day ago 7

PETALING JAYA – Usahawan dan pempengaruh sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri tidak menyangka konflik melibatkan dirinya dengan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir semakin rumit.

Aliff, 38, berkata demikian susulan kenyataan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Roslan Mat Nor memaklumkan individu yang disahkan bankrap tidak dikecualikan daripada memberikan keterangan di mahkamah.

“Sejujurnya saya terkejut dengan apa yang berlaku ini kerana selama ini saya penat cari duit.

“Bayangkan saya cari rezeki halal tapi ini balasan saya terima daripada Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

“Saya menghormati dan mengagungkan dia kerana dia sudah berusia dan juga bekas ahli politik,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bagaimanapun, Aliff menerima segalanya dengan hati terbuka dan tidak berputus asa untuk memperjuangkan haknya.

“Ini takdir saya kena, saya akan teruskan dan berjuang.

“Saya percaya berani kerana benar dan saya reda dengan apa yang dah terjadi,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Abdul Kadir, 86, selaku plaintif memfailkan saman pada 6 September 2023 dengan mendakwa Aliff yang terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut ramai dalam media sosial mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif menerusi Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.

Plaintif mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud antaranya beliau berhutang dengan defendan berjuta ringgit selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.

Sementara Aliff Syukri pula menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau telah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usahasama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.

Dakwanya, pihak-pihak di dalam perjanjian usahasama gagal membuat pembayaran wang yang telah dilaburkan selain segala pelanggaran-pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji yang diberikan plaintif kepadanya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberitahu, bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir boleh memberi keterangan dalam kes samannya terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman walaupun berstatus muflis.

Abdul Kadir juga menafikan bahawa beliau mengabaikan panggilan telefon dan mesej daripada ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |