GEORGE TOWN – Keadaan jerebu yang tidak menentu khususnya di Pulau Pinang memaksa kebanyakan keluarga membatalkan aktiviti luar dan memilih untuk menghabiskan cuti sekolah di dalam rumah bagi mengelakkan risiko kesihatan.
Bagi mereka, kesihatan anak-anak tetap menjadi keutamaan ketika keadaan kualiti udara semakin tidak baik sehingga berpotensi menjejaskan kesihatan.
Ibu kepada tiga anak, Linda Hassan, 39, berkata, mereka mengambil keputusan untuk mengehadkan aktiviti luar sepanjang cuti persekolahan selama seminggu yang bermula hari ini dan hanya memilih meluangkan masa bersama keluarga di rumah.
“Kami sebelum ini merancang membawa anak-anak pulang ke kampung di Baling, Kedah dan berjalan-jalan ke Kuala Lumpur sepanjang cuti sekolah ini.
“Bagaimanapun, apabila melihat situasi jerebu yang tidak menentu, kami pilih duduk di rumah.
“Kami bimbang jika terlalu lama berada di luar terutama anak-anak yang masih kecil. Kesihatan mereka perlu dijaga dan kami tidak mahu mengambil risiko,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, pada mulanya anak-anak agak keberatan dengan keputusan tersebut, namun memilih untuk akur bagi mengelak sebarang kemudaratan.
“Tidak perlu kalut untuk keluar bercuti. Kita boleh keluar semula apabila keadaan udara bertambah baik.
“Buat masa ini, biarlah anak-anak berada di rumah dan melakukan aktiviti yang tidak memerlukan mereka terdedah kepada jerebu,” ujarnya.
Sementara itu, seorang bapa, Fairuz Ismail, 47, pula mengakui keadaan cuaca dan jerebu yang sukar dijangka menyebabkan mereka lebih berhati-hati dalam merancang aktiviti keluarga.
“Kami tidak mahu tunggu sehingga anak mula mengalami masalah seperti batuk, selesema atau sesak nafas. Lebih baik kita berjaga-jaga dari awal.
“Cuti sekolah bukan bermakna perlu keluar setiap hari. Duduk di rumah pun boleh menjadi masa paling berkualiti untuk keluarga,” katanya.
Di Ipoh, Perak, seorang pekerja swasta, Hasni Mohammad berkata, dia terpaksa membatalkan aktiviti keluarga untuk bercuti di Kuala Lumpur memandangkan tahap udara yang tidak sihat ketika ini.
“Biasanya setiap kali cuti panjang persekolahan, kami akan bercuti dan menziarahi ahli keluarga lain yang ramai menetap di Lembah Klang.
“Tetapi kali ini perancangan itu terpaksa ditangguhkan. Mungkin kami perlu menunggu sehingga kualiti udara semakin baik. Lagipun, cuti persekolahan kali ini agak lama,” katanya.

2 hours ago
3

































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)















