SEPANJANG minggu ini, isu berkaitan pengacara meledak dalam media sosial selepas ramai kurang berpuas hati dengan cara Keanu Azman mengendalikan program Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES26) minggu lalu.
Dari sudut pandang penonton, Keanu bukan sahaja dilihat kekok beraksi bersama rakan gandingannya, Raja Azura, dia juga dianggap tidak melakukan tugasan dengan baik apabila dikatakan gagal sebatikan diri dengan konsep program.
Seperti ‘pantang’ buat silap sedikit, kesalahan tersebut bagaikan akan dijaja secara meluas dalam media sosial. Rentetan itu, lambakan kecaman dan kritikan dilemparkan kepada hos berusia 29 tahun itu selepas selesai konsert minggu pertama KES26.
Jika diteliti lambakan komen, rata-rata menzahirkan rasa kurang senang apabila Keanu dan Raja Azura atau Kak Engku dikatakan tidak mempunyai keserasian di pentas.
Perkara tersebut meraih pelbagai respons termasuk rakan selebriti yang memberi sokongan tetapi ada juga berharap pengacara generasi muda seperti Keanu terbuka terima kritikan dan perbaiki kelemahan diri.
Namun, isu tersebut sudah dijelaskan Keanu yang mengakui mencari titik keserasian dengan rakan pengacara bukan hal yang mudah.
“Pada saya, nak bina keserasian itu akan ambil masa. Kalau tengok program lain ada juga pasangan pengacara yang tiada keserasian pada beberapa minggu awal tetapi lama-kelamaan okey saja.
“Jadi, untuk minggu pertama dengan Kak Engku, kami sudah cuba yang terbaik yang sebelum itu sudah ‘brainstorm’ idea tetapi mungkin ketika siaran langsung tak sehebat ketika rehearsal.
“Segmen pertama saya okey tetapi selepas masuk segmen kedua, saya mula gelabah sikit. Namun, itu bukan salah Kak Engku dan saya tanggung semua kekurangan,” katanya kepada HibGlam.
Dalam pada itu, dia mengakui masih mencari rentak untuk membiasakan diri di pentas besar yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Saya masih sedang mencari rentak dan keserasian dengan rancangan ini. Belajar tentang lagu-lagu lama, cerita artis otai yang semuanya bukan dari generasi saya.
“Jadi, memang banyak kerja yang perlu dilakukan, harap semakin baik untuk minggu-minggu akan datang,” jelasnya.
Bukan sahaja dihentam, malah ada yang meminta produksi mempertimbangkan semula gandingan dua pengacara tersebut.
‘Kak Engku pun kena’
Raja Azura pula turut terheret dengan kecaman apabila ada yang mendakwa tidak memberi peluang kepada Keanu kerana statusnya sebagai pengacara senior.
Dia yang kembali mengacarakan Kilauan Emas selepas 11 tahun meninggalkan program tersebut juga dikatakan kerap memotong rakan gandingan dan lontaran suara juga terlalu bingit.
Tidak cukup dengan itu, ada juga yang berani menyentuh isu latar belakang pendidikan sehingga mengundang respons daripada anak perempuannya, Puteri Mia Maizura dalam Threads.
“Saya faham mama berpendidikan hanya SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tetapi dia berjaya didik kami adik-beradik menjadi manusia dan berpendidikan tinggi.
“Tanpa dia, saya tidak akan berada di sini. Cukup sekadar teguran, saya dan mama boleh terima tapi jangan merendah-rendahkan mama saya begitu,” ujarnya.
Sehingga hari ini, tiada kenyataan yang dikeluarkan Raja Azura bagi mempertahankan diri, namun rata-rata penonton KES26 berharap bakal berlaku magis pada konsert minggu kedua malam nanti.

2 hours ago
3

































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)















