Ratu boling negara tak kejar wang ringgit

2 weeks ago 14

GANJARAN wang tunai bukanlah perkara utama dikejar ratu boling negara, Natasha Roslan selepas melakar sejarah tersendiri menjadi atlet boling wanita pertama Malaysia memenangi Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF).

Memandangkan kejohanan tersebut tidak tersenarai dalam Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), ia menyebabkan barisan atlet dan jurulatih tidak layak menerima insentif kewangan tersebut.

Bagaimanapun, Natasha tidak kisah sekiranya kemenangan diraih itu tidak berada di bawah Shakam kerana menganggap kejayaan mencipta sejarah arena sukan negara merupakan pencapaian lebih bermakna.

“Bagi saya, kejuaraan merupakan perkara paling penting kerana bukan senang untuk mencipta sejarah. Oleh itu, saya anggap sejarah merupakan satu kemenangan untuk saya dan sekiranya dapat (Shakam), ia satu bonus.

“Saya seperti masih bermimpi tetapi ini adalah permulaan terbaik untuk 2025 dan harap dapat diteruskan kerana tahun ini masih ada Kejohanan Dunia dan temasya Sukan SEA (Thailand 2025),” katanya.

NATASHA bergambar bersama keluarga selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin. – FAIZ ALIF ZUBIR

Atlet berusia 29 tahun itu memahat nama dalam sejarah sukan negara apabila menjadi pemain boling wanita pertama Malaysia merangkul emas Piala Dunia IBF di Hong Kong, menewaskan Birgit Noreiks dari Jerman 2-0.

Pada masa sama, Natasha turut membantu Malaysia mara ke perlawanan akhir berpasukan wanita sebelum tewas 2-3 kepada Amerika Syarikat untuk membawa pulang pingat perak.

Sementara itu, Natasha mengakui masih belum puas dengan pencapaiannya memandangkan masih banyak kejohanan menjadi sasaran, lebih-lebih lagi memulakan kempen 2025 dengan langkah kanan.

“Belum puas lagi kerana ada banyak benda saya nak capai. Kejayaan ini bukannya untuk saya berhenti kerana ia adalah sebagai permulaan. Tahun ini saya sasar untuk mempertahankan kejuaraan dunia dan ada Sukan SEA juga,” ujarnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |