PETALING JAYA – Terheret dalam pertelingkahan terbuka, kakak kepada madu Marissa Dania Hakim, Nadia Mazlan mohon agar anak-anak saudaranya jangan dijadikan mangsa sasaran sumpahan netizen.
Katanya, seharusnya pihak berkaitan mempunyai empati terhadap adiknya iaitu isteri pertama Aslam, Umisya serta anak pasangan terbabit, berbanding mendoakan perkara buruk terhadap insan kecil yang tidak berdosa.
Minta tolong sangat-sangat, dalam menulis itu jangan melibatkan anak-anak hingga melukakan hati orang yang tidak bersalah.
“Yang kamu doakan itu dari rahim ibu yang tidak bersalah.
“Tolong ada rasa simpati dan empati pada baby yang tidak berdosa,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Rayuan tersebut diluahkan selepas terdapat individu tidak bertanggungjawab meninggalkan komen mendoakan anak bongsu Umisya yang baru berusia dua bulan terkena kifarah.
Ini susulan ‘perang’ terbuka antara Aslam dengan ibu kepada isteri keduanya dalam media sosial yang menjadi bualan ramai.
Kedua-dua pihak kembali berbalas kenyataan selepas ada pihak meminta Abby memohon maaf kepada Umisya berikutan tindakan Marissa berkahwin dengan Aslam secara rahsia dua tahun lalu.
Bagaimanapun, wanita terbabit mempersoalkan permintaan itu, sebaliknya meminta menantunya yang sewajarnya datang meminta maaf kepadanya.
Aslam kemudian tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Abby selain mendakwa pernah meminta maaf secara peribadi namun disangkal ibu mentuanya.
Selepas saling berbalas kenyataan, Marissa akhirnya bersuara dengan memaklumkan urusan keluarganya akan diselesaikan secara tertutup antara mereka.
Terdahulu Marissa bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada Disember 2023, manakala Aslam dan Umisya pula mendirikan rumah tangga pada Julai 2020.
Selain baru menimang anak ketiga, Aslam dan Umisya dikurniakan dua putera iaitu Hud, 4 dan Nuh, 3. – KOSMO! ONLINE