SEREMBAN – Seorang pembantu kedai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu urusan sewa rumah yang tidak wujud melibatkan kerugian keseluruhan bernilai RM3,850 sejak Oktober lalu.
Tertuduh, Iman Qistina Sari, 20 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut empat pertuduhan itu, Iman Qistina telah menipu empat individu dengan cara memperdayakan mangsa untuk mempercayainya mengenai urusan sewa rumah yang tidak wujud dan telah dengan curang mendorong mereka untuk membuat bayaran berjumlah antara RM550 hingga RM1,300.
Oleh itu, tertuduh dengan curang mendorong mangsa untuk membuat bayaran kepadanya yang mana mangsa tidak akan membuat bayaran tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu dilakukan di Taman Angsamas dan Taman Permai, Seremban pada Oktober dan November lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, tertuduh sama turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan dengan curang menyalahgunakan harta iaitu sebuah motosikal jenis SYM kepunyaan seorang lelaki berusia 25 tahun.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 10.30 pagi di Taman Angsamas, Seremban pada 7 September lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Ali Yaacob Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Izzati Mohd. Zainal menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roslaili Alias yang mewakili tertuduh memohon jaminan minima atas alasan dia merupakan penanggung tunggal keluarga.
“Bapanya yang menghidap sakit buah pinggang terpaksa ditidurkan semalam manakala ibunya menghidap sakit jantung,” katanya.
Mahkamah kemudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan penjamin bagi kesemua lima pertuduhan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Februari depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.