PETALING JAYA – Penggunaan lori elektrik dengan penjejak GPS merupakan antara inisiatif baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selaras pelancaran Pusat Mengumpul Sawit (PMS) Damar Berkat.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, penggunaan sistem tersebut dan teknologi lebih bersepadu oleh syarikat Sustainable Future Sdn. Bhd. membolehkan pengangkutan hasil hanya ke kilang dan pusat pengumpulan
Jelasnya, sistem baharu itu juga akan memastikan setiap hasil sawit ditimbang, direkod secara digital dan dipantau dalam sistem telus yang dikendalikan oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF).
“Felda mengambil inisiatif dengan mengunakan sistem kebolehjejakan dan teknologi lebih bersepadu serta mampan bagi mengurangkan ketirisan. Harapan kami, langkah itu akan memberi pulangan secara terus kepada peneroka.
“Data hasil ini menjadi pangkalan maklumat penting untuk strategi pasaran, subsidi dan logistik, sekali gus memperkukuh daya saing Felda dalam sektor agrikomoditi negara,”katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Shabery berkata, sebelum ini, KPF pernah mengalami kejatuhan dividen ekoran kelemahan dalam sistem agihan hasil.
Bagaimanapun katanya, dengan pembaharuan itu, Felda mensasarkan pemulihan semula kekuatan koperasi sebagai nadi pembangunan ekonomi komuniti peneroka.
Terdahulu beliau memberitahu, pelancaran PMS Damar Berkata itu disifatkan sebagai titik permulaan kepada reformasi besar-besaran dalam pengurusan hasil peneroka yang sebelum ini menjadi mangsa kepada rantaian sistem tidak telus didalangi peraih, sindiket penimbang dan agen luar.
“Sistem lama telah membuka ruang kepada “singa, buaya dan gajah” yang menindas peneroka melalui manipulasi harga dan penipuan timbangan. Peneroka kerja siang malam, tetapi hasilnya orang lain kaut.
“Felda tidak boleh lagi berdiam diri. Ketirisan yang berlaku bukan sahaja merugikan peneroka secara individu, malah Felda secara keseluruhan dengan anggaran kerugian mencecah RM200 juta setahun akibat kehilangan hasil tidak direkod dan aktiviti luar sistem.
“Mereka (peraih) memanipulasi hasil sawit, ambil untung tanpa usaha, sawit ‘hilang’ di tengah jalan malah pembayaran tidak telus. Situasi ini telah melemahkan kedudukan koperasi dan menjejaskan ekosistem pembangunan luar bandar,” katanya.-KOSMO! ONLINE