Projek MyGenom: 500 genom berjaya dijujuk bagi Fasa 1

1 day ago 6

BANGI – Sebanyak 500 genom pertama berjaya dijujuk menerusi Fasa 1 Projek MyGenom daripada penyertaan 2,000 orang bagi Projek MyGenom yang telah dilancarkan pada Ogos tahun lalu di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, projek tersebut melibatkan dua fasa dengan sasaran sasaran penuh Fasa 1 sebanyak 2,400 penjujukan genom menjelang hujung tahun ini, manakala 10,000 genom bagi sasaran kumulatif Fasa 2.

“Program ini melibatkan dua fasa dan sekarang kita sudah masuk Fasa 1. Sehingga Disember 2025 ini, kita harap dapat penjujukan sebanyak 2,400 genom yang mana hari ini, 500 genom telah dijujuk.

“Hari ini juga, saya bersama Menteri KKM secara sukarela memberikan sampel untuk Projek MyGenom dan kami menyeru lebih ramai orang awam boleh menjadi sukarela sebagai peserta dalam program ini,” katanya pada sidang media Projek MyGenom dan sesi pemberian sampel (darah) di Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) di sini hari ini.

Katanya, Projek MyGenome adalah salah satu kerangka strategik Malaysia Madani dan ia penting untuk mengatur, menjujuk genom serta memberi gambaran jelas berhubung varian DNA di negara ini sekali gus meneroka dalam ketepatan rawatan dan ubatan untuk pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perubatan genomik penting kerana pada akhirnya, kejituan perubatan hanya dapat dicapai menerusi teknologi genomik.

Katanya, dengan sasaran kumulatif 10,000 genom tersebut, ia membolehkan rujukan nasional untuk negara seterusnya boleh diperluaskan untuk pelbagai bidang disiplin.

“Kita sebagai sebuah negara yang mempunyai genomik atau kepelbagaian genatik, tidak wujud lagi rujukan nasional. Justeru inilah tahap awal permulaan kita untuk membangunkan rujukan negara dan daripada situ, kita akan dapat membangunkan paling akhir nanti analisis dalaman untuk mengkaji setiap punca penyakit.

“Seterusnya, kita bangunkan pendekatan rawatan berdasarkan data genomik tersebut,” katanya.

Dzulkefly pada sesi pemberian sampel (darah) bagi Projek MyGenom sambil diperhatikan oleh Lih Kang di MGVI, NIBM di Bangi, hari ini.

Projek MyGenom bertujuan menjujuk genom individu rakyat Malaysia yang sihat serta membangunkan genom rujukan negara, yang mana inisiatif tersebut mencirikan variasi genetik pelbagai kumpulan etnik di Malaysia.

Proses pensampelan bagi projek MyGenom dilaksanakan oleh KKM melalui pusat-pusat pengambilan darah, lokasi berkala dan lokasi sasaran yang terpilih.

Aktiviti pengekstrakan DNA, kawalan kualiti, penjujukan dan analisis dilaksanakan oleh pasukan MOSTI melalui fasiliti di MGVI, NIBM. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |