BACHOK – Tindakan akan diambil terhadap penjawat awam termasuk akan dibawa ke mesyuarat Lembaga Tatatertib sekiranya menyentuh sensitiviti berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, penjawat awam sentiasa diingatkan supaya tidak menyentuh perkara berkaitan isu 3R dan terdapat peraturan sedia ada kepada mereka berhubung isu berkenaan.
“Kita sentiasa ingatkan mereka supaya tidak sentuh kepada perkara berkaitan 3R. Sekiranya perkara itu berlaku, mereka akan tertakluk kepada peraturan sedia ada dalam pekeliling.
“Jika ada yang terlibat, mereka yang terbabit akan dibawa ke mesyuarat Lembaga Tatatertib untuk siasatan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Tautan Perdana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)- Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Ara, Gunong di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan memberitahu, pegawai awam juga disarankan supaya sentiasa turun padang ke kampung bagi mengambil maklum mengenai isu-isu yang dihadapi di peringkat akar umbi.
“Tugas seorang pegawai awam bukan semata-mata di pejabat sahaja, tetapi perlu sentiasa turun padang ke kampung-kampung untuk mendengar keluhan rakyat.
“Oleh itu, program Santuni Madani sebagai salah satu cara kerajaan untuk memaklumkan kepada pegawai awam peranan dan tugas hakiki mereka iaitu mendekati selain menyantuni rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE