[VIDEO] Bukan sahaja jejaskan kredibiliti saya, tapi juga frontliner – KJ

1 day ago 8

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyifatkan keputusan mahkamah yang membenarkan saman fitnahnya terhadap pendakwah bebas Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi berhubung vaksin Covid-19 keputusan yang tepat dan teliti.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata selepas tiga tahun behempas pulas dengan kes saman itu, akhirnya kebenaran berpihak kepadanya.

“Saya sangat tertarik dengan dapatan hakim, di mana beliau sebut ini (kenyataan fitnah) bukan sahaja menjejaskan kredibiliti saya (ketika menjawat Menteri Kesihatan) tetapi juga menjejaskan semangat kredibiliti semua yang terlibat terutama frontliner (petugas barisan hadapan) dalam usaha kita perangi Covid-19 (ketika pandemik).

“Jadi ini bukan sahaja kemenangan untuk kebenaran saya tetapi kemenangan pengiktirafan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua yang terlibat dalam usaha bebaskan Malaysia daripada pandemik,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes.

Sementara itu ditanya mengenai jumlah RM2.5 juta yang diperoleh yang mana jumlah itu perlu dibayar oleh Mohd. Rasyiq, Khairy berkata ia bukan soal nilai tetapi lebih kepada pengajaran.

“Dari segi nilai yang ditetapkan (RM2.5 juta) bukan soal nilai tetapi mesej isyarat yang dihantar mahkamah bahawa fitnah terutama dibuat sewaktu krisis terhadap usaha dibuat untuk selamatkan negara harus dihukum dengan jumlah besar supaya ia menjadi isyarat dan perkara tidak diulangi dimasa akan datang,” katanya lagi.

Terdahulu Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Mohd. Rasyiq membayar ganti rugi RM 2.5 juta kepada Khairy kerana memfitnah berhubung vaksin Covid-19.

Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan demikian selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Khairy selaku plaintif terhadap Mohd. Rasyiq atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq sebagai defendan dalam kes saman itu.

Selain ganti rugi RM2.5 juta, mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM50,000 terhadap plaintif.

Khairy mengambil tindakan undang-undang pada 2022 dengan mendakwa Mohd. Rasyiq menyebarkan dakwaan palsu kononnya beliau mengelirukan orang ramai mengenai status vaksinasi dirinya.

Pada perbicaraan kes saman itu sebelum ini, peguam yang mewakili Khairy memberitahu Mahkamah Tinggi, Mohd. Rasyiq menyiarkan kenyataan yang disangkal itu di media sosial untuk mempersendakan Khairy, yang bertanggungjawab menyelaras program vaksinasi Covid-19 negara.

Menurut peguam itu, pendakwah yang turut dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq itu merujuk Khairy secara langsung dalam kenyataannya, termasuk memetik akaun media sosialnya.

Abdul Rashid berkata, pendakwah itu tidak menyesal, malah ‘memohon maaf’ secara sinis kepada Khairy selepas dokumen mahkamah disampaikan kepadanya.

Khairy dalam tuntutan saman itu mendakwa, kenyataan Mohd. Rasyiq menjejaskan usaha kerajaan membendung Covid-19.

Sebelum ini prosiding keputusan kes itu ditangguh berikutan kematian bapa mentua Khairy, iaitu perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85, pada 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |