KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas sebanyak 269 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM13.6 juta dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Bandar Baru Seri Petaling, di sini.
Rampasan itu dipercayai milik sindiket pengedaran antarabangsa yang menggunakan Malaysia sebagai negara transit sebelum dihantar ke Indonesia dan Hong Kong melalui perkhidmatan kurier.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, serbuan dilakukan pada Isnin lalu pada pukul 5.30 petang hasil risikan pihaknya selama hampir dua bulan.
Katanya, hasil serbuan berkenaan pihaknya berjaya melakukan tangkapan dua lelaki tempatan di sebuah kopitiam berhampiran lokasi penyimpanan dadah tersebut.
“Hasil penahanan suspek, pemeriksaan ke atas rumah sewa mereka membawa kepada penemuan 210 kg ketamin, 55 kg syabu (methamphetamine) dan 4 kg ekstasi, semuanya dibungkus rapi menggunakan bungkusan teh untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
“Dadah ini mampu merosakkan lebih sejuta individu jika terlepas ke pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, rumah teres dua tingkat itu disewa sejak November tahun lalu pada kadar RM1,700 sebulan dan digunakan sebagai stor penyimpanan sebelum dadah diedarkan dalam bentuk kecil ke pasaran tempatan dan luar negara.
Mat Zani berkata, kedua-dua suspek berusia 42 dan 43 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk 17 rekod bagi suspek utama antaranya pecah rumah, rompakan dan kes dadah.
“Suspek dibayar sekitar RM100 bagi setiap kilogram dadah yang dijaga dan dibungkus. Dengan jumlah keseluruhan 269 kg itu mereka menerima gaji kira-kira RM26,900,” ujarnya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua mereka direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu.
Mat Zani berkata, polis kini sedang memburu dalang sindiket tersebut yang dipercayai berada di Thailand dan menjadikan negara ini sebagai hub transit utama kemasukan dadah dari negara jiran melalui pintu sempadan di utara Semenanjung.
“Kita percaya sindiket ini mempunyai kaitan dengan operasi yang dijalankan minggu lalu.
“Mereka menggunakan aplikasi seperti WeChat untuk berkomunikasi secara rahsia dan mengatur logistik,” katanya. – KOSMO! ONLINE.