KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengurus Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba mendedahkan dokumen sulit syarikat itu kepada Syarikat Petroleum Sarawak (Petros), tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Khairul Akmal Mohd Jasni, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Khairul ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas didakwa cuba memdedahkan maklumat dokumen, Q1 2024 Upstream Business Performance Operational and Financial kepada Petros di antara pukul 3.19 hingga 3.21 petang, 8 Jun 2024 di Jalan Pinang, Dang Wangi di sini.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali.
Seksyen 511 membawa hukuman penjara tidak melebihi setengah daripada Seksyen 203A (1), jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM50,000 atas alasan perbuatan tertuduh itu merupakan kesalahan yang serius dan melibatkan kewangan negara.
“Kes ini mampu untuk memberikan implikasi kepada kewangan negara dan ini perlu mengira prinsip kepentingan awam dan bukan individu.
“Jumlah ini adalah musanabah. Mengambil kira maklumat sulit Petronas cuba diberikan kepada syarikat luar,” katanya.
Bagaimanapun, peguam bela, Fadhli Sutris yang mewakili Mohd. Khairul meminta wang jaminan yang lebih rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan sentiasa memberikan kerjasama semasa siasatan dijalankan.
“Anak guam baru sahaja melaporkan diri semalam di tempat kerja barunya di Sarawak setelah dibuang kerja sejak Disember lalu.
“Pendapatanya belum stabil dan perlu menanggung isteri serta tiga anak yang masih kecil. Oleh itu, saya mohon jumlah jaminan rendah sekitar RM3,000 hingga RM5,000,” kata peguam itu.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE