REMBAU – Seorang pemuzik dan penulis lagu berusia pertengahan usia 50an dikejutkan dengan keadaan bilik anaknya yang berselerak seperti diselongkar dalam kejadian di Kampung Seberang Batu Hampar, di sini, pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, kejadian itu disedari mangsa selepas bangun tidur kira-kira pukul 6.20 pagi dan mangsa turut mendapati barang-barang dalam bilik belakang juga telah beralih.
“Mangsa telah memeriksa sekeliling kawasan rumah dan mendapati pintu dapur rumah terdapat kesan umpil serta grill pintu belakang telah dipotong, selain pintu kayu dipecahkan.
“Mangsa dipercayai kerugian kira-kira RM5,000 apabila kehilangan komputer riba milik anaknya serta komputer ribanya yang mempunyai intelektual property membabitkan lagu yang sedang dalam proses dan lagu yang telah siap diproses,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azmi berkata, mangsa turut kehilangan beg sandang yang mempunyai perjanjian serta dokumen-dokumen berkenaan urusan pekerjaannya yang juga broker tanah dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE