Pelajar UUM maut dilanggar bas ketika beratur

5 hours ago 3

SINTOK – Seorang penuntut wanita Universiti Utara Malaysia (UUM) maut dilanggar sebuah bas dalam kejadian di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM Sintok, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, mangsa, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, yang cedera pada badan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang tadi ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Penuntut semester empat Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan berasal dari Johor itu sedang menunggu giliran untuk menaiki bas sebelum kenderaan itu dilanggar sebuah lagi bas.

Allahyarham Manarina Hasya

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas pertama sedang berhenti di perhentian itu untuk mengambil penumpang.

“Kenderaan itu tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah lagi bas.

“Impak perlanggaran menyebabkan bas di hadapan menggelongsor ke hadapan dan melanggar besi penghadang jalan lalu menghimpit mangsa yang sedang menunggu giliran untuk menaiki bas pertama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kedua-dua pemandu bas masing-masing berusia 32 dan 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pihaknya sedang menunggu laporan lengkap berhubung kemalangan itu, selain mengarahkan Jabatan Keselamatan UUM menghubungi polis bagi menyiasat insiden itu.

“Polis sedang melakukan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan itu dan UUM akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan penuh yang akan diterima,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |