KUALA LUMPUR – Hasrat skuad ragbi 15 sebelah kebangsaan untuk mengekalkan status di Divisyen Premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC) tidak kesampaian selepas tumpas 19-59 kepada Sri Lanka dalam aksi playoff di Colombo, sebentar tadi.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Racecourse, pasukan tuan rumah tampil dengan prestasi meyakinkan apabila melakukan sembilan try untuk memastikan mereka melangkah ke pentas Premier ARC 2025.
Pada saingan tersebut, Sri Lanka memperoleh sembilan try menerusi Dinal Ekanayake (tiga), Janidu Madushanka (dua), Naveen Marasinghe, Danushka Ranjan, Dahan Wickramarachchi dan Akash Madushanka.

Pemain Sri Lanka, Mursheed Zubair Dora pula cemerlang menyempurnakan tujuh tendangan conversion.
Malaysia pula hanya berjaya meraih tiga try, kesemuanya menerusi pemain naturalisasi kelahiran Fiji, Etonia Vaqa Saukuru. Dua conversion berjaya disempurnakan oleh Nazreen Fitri Nasrudin dan Amirul Aqil Kamsol.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terpaksa pulang ke tanah air dengan kekecewaan apabila turun ke Divisyen Satu.
Sri Lanka pula akan menyertai Divisyen Premier bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan dan juara bertahan, Hong Kong.
Untuk rekod, Malaysia menamatkan saingan musim lalu di tangga tercorot Divisyen Premier manakala Sri Lanka muncul juara Divisyen Satu. -KOSMO! ONLINE