LIVERPOOL – Liverpool dilaporkan sedang mempertimbangkan perpindahan luar biasa dengan menyasarkan penyerang buangan Manchester United, Marcus Rashford yang mungkin boleh memecahkan tradisi permusuhan selama 61 tahun antara dua gergasi England itu.
Menurut laporan The Mail, nama Rashford telah ‘diapungkan sebagai idea’ oleh pengurusan Anfield ketika kelab itu sedang dalam proses mencari pengganti sesuai bagi Darwin Nunez yang hampir pasti meninggalkan The Reds.
Rashford, 26, berdepan ketidaktentuan masa depan di Old Trafford selepas berselisih faham dengan pengurus United, Ruben Amorim dan boleh dijual sekitar £40 juta (RM227.39 juta).
Jika perpindahan menjadi kenyataan, ia akan menjadi pertukaran pemain pertama antara United dan Liverpool sejak perpindahan Phil Chisnall dari Old Trafford ke Anfield pada 1964, satu detik yang kini menjadi sejarah bola sepak Inggeris.
Liverpool dikatakan menjadikan Rashford sebagai pilihan alternatif sekiranya gagal membawa masuk Alexander Isak dari Newcastle United yang menuntut bayaran tinggi mencecah £150 juta (RM852.72 juta), sekali gus memecahkan rekod perpindahan termahal Liga Perdana Inggeris (EPL).
Antara penyerang EPL lain yang turut berada dalam radar Liverpool termasuk Ollie Watkins (Aston Villa) dan Yoane Wissa (Brentford), manakala pilihan lain seperti Hugo Ekitike (Eintracht Frankfurt) serta Rodrygo (Real Madrid).
Namun, Rashford kekal sebagai pilihan ideal tetapi berpotensi mengubah landskap bola sepak England sekiranya benar-benar menyarung jersi merah Liverpool musim depan.
Pada 2007, pemain pertahanan United, Gabriel Heinze yang kini memegang peranan sebagai penolong pengurus Arsenal, hampir menyertai Liverpool selepas bergaduh dengan Sir Alex Ferguson, namun, perpindahan itu dibatalkan sebelum dia berhijrah ke Real Madrid.
Untuk rekod, beberapa pemain pernah beraksi untuk Liverpool dan United seperti Paul Ince dan Michael Owen, namun tidak pernah berpindah secara langsung di antara kedua-dua musuh ketat itu. – AGENSI