Putuskan ‘persahabatan’ aku dengan dadah

6 hours ago 6

PETALING JAYA – Seorang bekas penagih dadah mengakui pernah menganggap dirinya sebagai seorang ‘loser’ selepas kehidupannya semakin tersasar sehingga mengecewakan keluarga dan isteri.

Menerusi ruangan komen sebuah video di laman TikTok, AADK pengguna dikenali sebagai @Rockers_kampung berkata, dia mula terjebak dengan dadah sejak zaman persekolahan sehingga berusia 37 tahun dan pernah mengambil pelbagai jenis bahan terlarang.

Menurutnya, perjalanan hidup sebagai penagih bukan sesuatu yang mudah apabila dia terpaksa melalui pelbagai episod gelap yang sukar dibayangkan oleh mereka yang tidak pernah mengalaminya.

“Saya merenung sedalam-dalamnya kehidupan saya. Saya hanya seorang ‘loser’, orang tua, keluarga dan isteri sudah sangat kecewa dengan saya. Saya sudah jauh tersasar,” katanya.

Katanya, titik perubahan berlaku tiga hari sebelum sambutan Hari Raya ketika dia masih berada di bawah pengaruh dadah selain mempunyai bekalan bahan terlarang dalam jumlah banyak.

Menurutnya, kesedaran untuk berubah sebenarnya sudah lama ada, namun dia tidak mempunyai kekuatan untuk meninggalkan kehidupan tersebut sehinggalah berdoa bersungguh-sungguh pada malam berkenaan.

“Hanya satu doa saya, ‘Ya Allah, putuskanlah persahabatan aku dengan dadah. Berikanlah aku kekuatan. Aku ingin bebas dan dekat kepada-Mu Ya Allah’,” ujarnya.

Dia kemudian bertindak menanam semua bekalan dadah serta kelengkapan yang dimilikinya sebagai simbolik ‘menguburkan’ sesuatu yang pernah dianggap sebagai sahabat dalam kehidupannya.

“Malam itu saya menangis dengan kesedaran yang sangat dalam. Saya tanam stok yang banyak dan segala kelengkapan sekali. Saya kuburkan sesuatu yang pernah menjadi ‘sahabat’ saya malam itu,” katanya.

Tambahnya, dia kini sudah tujuh tahun bebas daripada dadah dan menikmati kehidupan lebih tenang selain mempunyai rumah sendiri serta sumber rezeki yang tidak pernah putus.

“Saya dapat bahagiakan keluarga dengan rezeki yang berkat dan halal. Alhamdulillah. Jangan lupa Allah,” katanya.

Dalam satu lagi komen, seorang pengguna dikenali sebagai @shahrull turut berkongsi kisah rakannya yang berjaya berubah selepas berkahwin dan menjadikan anak tirinya sebagai sumber kekuatan untuk meninggalkan kehidupan lama.

“Alhamdulillah, ada seorang kawan macam ini. Sumber kekuatan dia ialah anak tiri. Bukan darah daging dia tetapi disebabkan budak itu, dia lupakan semua.

“Selepas berkahwin dia berubah sepenuhnya. Sekarang dia sudah di alam abadi. Semoga kebaikannya mengangkat dia ke syurga, amin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |