14 ahli DAP bidas MP Jelutong, dakwa dwi standard isu binaan kuil

15 hours ago 10

PETALING JAYA – Seramai 14 anggota akar umbi DAP membidas pendirian Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung isu binaan yang didakwa berkemungkinan tidak mematuhi undang-undang.

Melalui satu kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, mereka berkata, pemimpin perlu mendidik masyarakat supaya menghormati undang-undang, bukannya mempertahankan tindakan yang berkemungkinan melanggarnya.

Kenyataan itu merujuk kepada polemik berhubung perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, Perlis, yang turut mendapat perhatian Rayer dan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin.

Katanya, pemimpin juga perlu menyemak fakta dan mengambil pendirian tidak berpihak apabila sesuatu tindakan didakwa bercanggah dengan perundangan negara serta melibatkan kepentingan masyarakat.

“Tiada siapa yang ‘above the law’, tidak terkecuali pemimpin besar negara, kerana itu adalah panduan setiap warga Malaysia.

“Kita harus konsisten dalam hal ini dan tidak sepatutnya mengamalkan sikap dwi piawai,” katanya.

Ujar mereka lagi, prinsip Kedaulatan Undang-Undang dalam Rukun Negara menuntut semua pihak menjunjung undang-undang melangkaui kepentingan parti dan peribadi, selain konsep ‘rule of law’ yang menjadi pegangan DAP sejak sekian lama perlu dilaksanakan secara konsisten.

Katanya, perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik amat digalakkan demi kesejahteraan bersama, namun tidak harus dijadikan alasan untuk menggalakkan pelanggaran undang-undang.

“Sebarang kenyataan yang dibuat secara melulu, lebih-lebih lagi oleh pemimpin yang mempunyai latar belakang perundangan, boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Ia juga boleh memberi gambaran seolah-olah tindakan pencerobohan atas nama agama boleh dipertahankan dan keadaan ini amat membahayakan hubungan antara agama dan kaum di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, isu berkaitan binaan perlu ditangani berdasarkan fakta, peruntukan undang-undang dan saluran yang sewajarnya bagi memastikan penyelesaian dicapai tanpa mengabaikan prinsip Kedaulatan Undang-Undang.

Kenyataan bersama itu ditandatangani 14 ahli DAP termasuk Pengerusi DAP Cawangan Setia Impian, Muhammad Shakir Ameer Mohideen; Pengerusi DAP Cawangan Bandar Baru Bangi, Farhan Haziq dan Izzul Afiq Setiausaha DAP Cawangan Taman Kemuncak. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |