5 penghibur hebat tak lekat trofi AJL

18 hours ago 9

KATA orang, rumah sudah siap, pahat masing berbunyi. Demam Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) masih membahang meskipun sudah seminggu melabuhkan tirai.
Tidak keterlaluan disifatkan secara umum, majoriti sepakat merestui kemenangan juara keseluruhan menjadi milik Konflict Of Interest atau K.O.I menerusi karya luar biasa mereka, Tiwikarma.

Letak tepi ego dan perihal netizen ‘terlalu bijak’ menghakimi, kadangkala, ada yang alpa bahawasanya, pentas AJL bukan tentang siapa paling popular atau siapa tarik nota nyanyian paling tinggi melangit, sebaliknya pertandingan keramat itu utamanya adalah tentang gubahan lagu, komposisi muzik dan nukilan lirik paling dikehendaki juri.

Berevolosi sedari penganjuran perdana menerusi juara sulung, Sekadar Di Pinggiran ciptaan Manan Ngah dan Allahyarham Loloq, acara berkenaan terus maju dengan kualiti produksi yang kian ‘menekan-nekan’ saban tahun.

Edisi kali ini tidak terkecuali tersepit dengan beragam sensasi, ada yang tidak laju memaki permainan kamera siaran langsung dan mengomel tentang nyanyian harus ‘begitu begini’. Tidak kurang yang meluahkan kehampaan apabila penyanyi kegemaran terus ‘teraniaya’ di pentas paling berprestij negara meski sudah berjuang sehabis baik untuk mendapat validasi umum.

Untuk semua pertikaian tersebut, Gala minggu ini merangkumkan lima penyanyi yang mencatat sejarah menjadi nama mereka seperti ‘snub’ tiada pengiktirafan di pentas AJL.

Exists

EXISTS antara nama besar yang boleh dianggap ‘teraniaya’ di pentas AJL apabila tidak pernah memenangi sebarang kategori atau gelaran juara utama meskipun empat kali layak ke final. Mereka bertanding menerusi Untukmu Ibu (AJL7), Anugerah (AJL9), Julia (AJL17) dan Percayakan Siti (AJL 18), masing-masing dengan Mamat dan Ezad sebagai vokalis. Walaupun tidak pernah menjulang sebarang kemenangan, mereka kekal sebagai antara band yang masih disengani bukan sahaja di Malaysia bahkan di Indonesia sehingga sekarang.

Hazama

LAPAN kali final AJL dan kalau Stacy mendominasi senarai artis wanita paling kerap melangkah pertandingan ikonik itu tanpa kemenangan, bahagian lelaki pula ‘pemenangnya’ adalah Hazama. Mula mara ke pentas AJL pada menerusi karya Simetri (2013), sehingga minggu lepas edisi ke-40, Hazama masih belum berjaya diangkat sebagai pemenang melalui pernyertaan terbaharu, Semacam Pandora.

Noh Salleh / Hujan

MERUPAKAN antara pelopor muzik indie di Malaysia, Noh Salleh memiliki katalog muzik yang sangat luar biasa baik secara solo mahupun bersama Hujan. Barangkali Noh tidak kisah sama ada karya-karya mendapat pengiktirafan (kerana dia sememangnya komposer dan anak pentas yang luar biasa), tapi perlu diingatkan Noh sudah lima kali cuba menembusi tempok AJL, namun semuanya tidak berhasil. Mula bertanding bersama Hujan menerusi Aku Skandal (2009) sehinggalah penyertaan terakhir menerusi Angin Kencang (2015), Noh membuktikan kemenangan sebenar adalah apabila lagu-lagu dendangannya terus mekar di hati peminat sehingga kini.

Amir Masdi

REZEKI masih belum kunjung tiba buat Amir Masdi apabila masih terpaksa berputih mata di pentas AJL40. Empat kali bertanding di pentas final dengan kualiti vokal yang jarang mengecewakan, ramai peminat kurang bersetuju apabila namanya masih belum ‘sangkut’ bahkan satu trofi meskipun membuatkan penonton terpegun acapkali beraksi di pentas. Amir Masdi masih belum pernah merangkul sebarang trofi di pentas AJL meskipun beberapa kali layak ke pentas akhir, termasuk menerusi Kau Sakiti (AJL35) dan Nurcinta (AJL40).

Stacy

TUJUH kali masuk final rekod Stacy tidak tertandingi. Dengan seleksi Pakai Buang, Kasanova, Bosannya, Gilalah dan lain-lain, Stacy antara finalis paling konsisten tetapi tak pernah membawa pulang trofi utama. Rekod tujuh penyertaan final tanpa kemenangan memang antara yang paling tinggi dalam sejarah AJL. Bagaimanapun, rezeki Stacy menang hadir bukan sebagai penyanyi sebaliknya pencipta menerusi karya Cinta nyanyian Marsha Milan apabila diangkat sebagai Naib Juara dan Persembahan terbaik edisi AJL36.

Read Entire Article
Pertanian | | | |