Juhara Ayob buru gelaran doktor sebelum pencen

14 hours ago 9

KUALA LUMPUR – Pelakon Juhara Ayob tidak menafikan kesukaran untuk membahagikan tugas sebagai seorang pensyarah, menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) serta kesibukan dalam dunia lakonan.

Tidak putus harapan, Juhara, 55, berharap dapat memegang gelaran doktor sebelum menamatkan perkhidmatan pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan (Aswara).

“Sangat susah sebab rata-rata pensyarah di Aswara, mereka kalau sambung belajar PhD mereka dapat cuti belajar selama tiga tahun tapi syarat tak melebihi 45 tahun.

“Tapi saya tak dapat kelayakan itu sebab umur saya dah lebih 45 tahun, jadi bila nak sambung belajar, saya mohon kena tolak.

“Berkat semangat saya sendiri sekurang-kurangnya saya cakap sebelum saya pencen nak ada gelaran (doktor) itu, jadi saya teruskan guna duit sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media teater terbaharu lakonannya berjudul Muzikal Tomyam Berdarah, kelmarin.

Disoal mengenai tawaran lakonan televisyen, pelakon drama Demi Janji Itu terpaksa mengehadkan penggambaran bersiri panjang demi komitmen tugas hakikinya.

“Saya buat juga drama televisyen tapi tak boleh ambil macam dulu yang episod panjang sebab kena cuti. Jadi saya ambil kerja Sabtu, Ahad dan Jumaat.

“Tawaran masih ada sebab bila orang tengok saya masih aktif, mereka mula panggil buat watak yang seronok tapi ‘outstation’ dalam dua minggu.

“Jadi masalah sebab nak cuti lama, tak boleh,” katanya lagi.

Bagi mengubat rindu terhadap dunia seni tanpa mengganggu jadual hariannya, Juhara memilih untuk terus aktif di pentas teater.

“Saya nak mengisi rindu pada berlakon itu sebab saya buat teater. Maksudnya minat saya itu tak hilang.

“Tak dapat berlakon televisyen tapi saya masih berlakon. Di situ juga tempat saya jumpa kawan-kawan lain yang dah lama tak jumpa,” jelasnya.

Juhara bakal terlibat dalam teater Muzikal Tomyam Berdarah selama tiga hari bermula 28 Ogos depan di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain Juhara, pementasan teater tersebut turut menampilkan pelakon Karl Shafek dan gabungan pelajar UKM serta Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |