KUALA LUMPUR – Astro terus memperkukuh pengalaman Liga Perdana (PL) buat peminat bola sepak tempatan dengan menawarkan pelbagai kandungan serta aktiviti sepanjang musim baharu.
Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, pihaknya mahu pengalaman mengikuti PL tidak hanya terhad kepada menonton perlawanan di rumah, sebaliknya mewujudkan ruang untuk peminat berkumpul dan berkongsi minat terhadap kelab masing-masing.
“Menonton di rumah adalah satu pengalaman yang hebat, tetapi PL mempunyai kelompok peminat yang sangat besar. Jadi, mengapa tidak kita kumpulkan mereka?
“Melalui sesi tontonan bersama, kita memberikan peluang kepada peminat daripada pelbagai kelab untuk berkumpul dan merasai pengalaman PL dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas perasmian Premier League 2026/27 Season Kick Off dan sesi menonton perlawanan bersama di WOW Plaza, Lalaport BBCC, Kuala Kumpur.
Menurut Agnes, pendekatan itu juga membolehkan peminat tempatan bertemu legenda serta individu yang pernah terlibat secara langsung dalam saingan PL tanpa perlu terbang ke England.
Katanya, tidak semua peminat berpeluang ke London untuk menyaksikan perlawanan secara langsung, malah mendapatkan tiket juga sukar meskipun mereka mempunyai kemampuan untuk ke sana.
Justeru, Astro membawa bekas penjaga gol England dan Arsenal, David Seaman bertemu peminat sempena acara pembukaan musim baharu PL yang turut menghimpunkan pelanggan, kelab penyokong serta rakan strategiknya.
Dalam pada itu, Agnes berkata, Astro turut memikul tanggungjawab untuk terus mengembangkan kelompok peminat PL di Malaysia khususnya dalam kalangan wanita dan generasi lebih muda.
Usaha itu sebelum ini dilaksanakan menerusi program KL2PL, iaitu kandungan Astro yang membawa selebriti tempatan mendekati dunia PL termasuk pengalaman berkaitan liga berkenaan dengan dua musim telah diterbitkan.
Menurut Agnes, musim pertama KL2PL yang menampilkan antaranya Nabil dan Intan Serah menyaksikan jumlah tontonan meningkat kira-kira 40 peratus.
Musim kedua pula menampilkan antaranya Meerqeen, Abang Mad, Intan dan Nabil serta berjaya mencatat capaian melebihi sejuta penonton.
Astro kini mengambil pendekatan berbeza menerusi drama PL, I Love You yang dihasilkan dengan kerjasama PL dan bakal ditayangkan mulai 30 September menerusi Astro Ria, Astro GO serta Sooka.
Agnes berkata, drama berkenaan akan mengetengahkan budaya, tradisi serta kehidupan penyokong PL yang mungkin tidak diketahui ramai selain menjadi kaedah baharu untuk mendekatkan liga itu dengan penonton tempatan.
Sementara itu, ditanya mengenai pemilihan Danny Simpson sebagai pengulas bola sepak baharu Astro, Agnes berkata, beberapa calon telah dipertimbangkan bersama pihak PL sebelum bekas pemain Leicester City itu dicadangkan.
“Kami melihat ramai pengulas bola sepak dan bekerjasama dengan pihak PL dalam perkara ini. Mereka kemudian berkata, ‘Mengapa tidak cuba Danny Simpson? Kami fikir dia sangat bagus’.
“Sepanjang 15 tahun lalu, kami sudah membawa kira-kira 300 pengulas bola sepak. Jadi, kami sentiasa mahu mencuba individu baharu dan Danny Simpson pula merupakan juara PL, jadi mengapa tidak?” katanya.
Bagi musim baharu ini, Maxis tampil sebagai penaja penyiaran baharu PL di Astro bersama Wonda Coffee dan Zetrix by MYEG, dengan kerjasama tersebut bertujuan memberikan pengalaman bola sepak lebih menarik serta mendekatkan peminat dengan saingan PL sepanjang musim.
Astro juga akan terus menganjurkan sesi tontonan bersama di seluruh negara serta membawa lebih ramai bekas pemain dan pengulas bola sepak untuk bertemu peminat sepanjang musim ini, manakala kesemua 380 perlawanan PL boleh disaksikan secara langsung menerusi platform Astro, Sooka dan NJOI.- KOSMO! ONLINE

10 hours ago
8
















![[VIDEO] ‘Kau ingat kepala member aku ni bola?’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/pomen-kepala.jpeg)


![[VIDEO] Mak meninggal kanser bulan Mei, ayah lemas pagi tadi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/LEMAS-YATIM-PIATU.jpeg)



















![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)









