Pos Malaysia buka Pos Shop ke-50 di Datuk Keramat

2 weeks ago 19

GEORGE TOWN – Pos Malaysia Berhad terus mencipta sejarah apabila membuka Pos Shop ke-50 di Jalan Datuk Keramat, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer, berkata, pembukaan Pos Shop di Datuk Keramat merupakan bukti jelas transformasi syarikat dalam menyediakan pengalaman pelanggan yang lengkap dan inovatif.

“Kami amat berbesar hati memperkenalkan Pos Shop ini kepada komuniti George Town.

“Ini adalah lokasi kelima Pos Shop di Pulau Pinang dan menjadi bukti dedikasi kami untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya selepas menghadiri majlis pembukaan Pos Shop Datuk Keramat di sini hari ini. Hadir merasmikan Pos Shop Dato Keramat itu ialah Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Dengan keluasan lebih 800 kaki persegi, Pos Shop Datuk Keramat menawarkan kemudahan seperti pengeposan bungkusan, pembayaran bil, tambah nilai telefon bimbit, serta ruang runcit yang menampilkan Pos Kafe iaitu sebuah konsep moden yang menyediakan kopi segar dan snek segera untuk pelanggan.

Pembukaan Pos Shop terbaharu ini melambangkan usaha transformasi Pos Malaysia yang tidak pernah berhenti dalam menyediakan kemudahan lebih moden, mesra pengguna, dan relevan dengan kehendak masa kini.

Kon Yeow hadir pada Majlis Pembukaan Pos Shop di Datuk Keramat, George Town hari ini. -Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

Sehingga kini, 50 Pos Shop di seluruh negara telah memberi perkhidmatan kepada lebih 630,000 pelanggan dengan menjual lebih 140,000 bun, 153,000 pau, 43,000 nasi lemak, serta pelbagai produk tempatan lain, termasuk hasil keluaran PKS.

Menurut Charles, pembukaan Pos Shop ke-50 di Datuk Keramat hari ini melambangkan komitmen pihaknya yang teguh terhadap transformasi, inovasi, dan penyediaan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelanggan

“Seperti cawangan kami di Perai, Kepala Batas, Batu Maung dan Gelugor, Pos Shop Datuk Keramat menggabungkan pejabat pos yang berfungsi sepenuhnya dengan ruang runcit yang mesra dan menyambut, membawa perkhidmatan kami lebih dekat kepada rakyat Pulau Pinang.

“Kami juga merancang untuk membuka sebuah lagi Pos Shop baharu di Pulau Pinang iaitu di kawasan Komtar,” katanya.

Kon Yeow berkata, usaha Pos Malaysia ini wajar mendapat pujian kerana ia dapat menyatukan keperluan tradisional dan digital.

“Transformasi Pos Malaysia melalui Pos Shop ini bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, tetapi turut menyokong perniagaan tempatan, sekaligus merapatkan jurang antara komuniti fizikal dan digital,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |