Lori yang tular di media sosial apabila bucket atau timbau tidak diturunkan sehingga melanggar lampu isyarat di persimpangan Jalan Sawah di Pekan Nanas, di Pontian hari ini.
- Oleh MUHAMMAD ZIKRI
- 5 Januari 2026, 11:18 pm
PONTIAN – Polis menyita sebuah lori yang tular di media sosial selepas bahagian belakang ‘bucket’ atau timbau tidak diturunkan sehingga melanggar tiang lampu isyarat di Kilometer 44, Jalan Johor Bahru–Batu Pahat, bandar Pekan Nanas, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussien berkata, tindakan itu dibuat selepas drebar lori berusia 53 tahun membuat laporan di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.
Katanya, kejadian berlaku pada pukul 2.50 petang apabila lelaki tempatan itu melalui persimpangan lampu isyarat dari arah Pontian ke Pekan Nanas tanpa menyedari bucket dalam keadaan terangkat.
“Pemeriksaan awal mendapati ia dipercayai berpunca akibat masalah teknikal kenderaan. Rakaman percakapan pemandu dan majikan akan diambil dalam masa terdekat, manakala lori disita bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

2 days ago
8

















































