GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah serta merampas dadah bernilai lebih RM1.3 juta dalam operasi berasingan di Butterworth dan pusat bandar negeri ini, dari Jumaat hingga hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam operasi tersebut polis turut menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita warga Vietnam.
Menurutnya, operasi pertama dijalankan semalam bermula pukul 7 pagi hingga 5 petang dan polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Butterworth.
“Tiga suspek berusia 25 hingga 34 tahun ditahan dalam operasi ini, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan, masing-masing bekerja sebagai jurujual emas dan penganggur.
“Seorang lagi suspek iaitu wanita warga Vietnam adalah kekasih salah seorang suspek lelaki yang ditahan,” katanya di sini hari ini.
Jelas Hamzah, dalam serbuan ini, pihak polis telah berjaya merampas dua bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi 385 peket disyaki dadah jenis MDMA seberat 5.95 kilogram.
“Polis turut merampas satu peket lutsinar berisi serbuk disyaki dadah jenis ketamin anggaran berat 915.71 gram.
“Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini bergiat aktif sejak Oktober 2024 dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 50,000 orang atau 50,000 kali penggunaan,” katanya.
Jelas Hamzah, hasil saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine, ketamin, dan benzo.
”Selain itu, kita juga telah menyita kereta, barang kemas, jam tangan berjenama, dan wang tunai dengan nilai sitaan berjumlah RM56,000. Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan harta adalah RM1.05 juta,” katanya kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 25 Januari untuk siasatan.
Hamzah berkata, operasi kedua pula dijalankan pada Jumaat dan Sabtu lalu dan polis berjaya membongkar sebuah stor penyimpanan dadah di George Town, dengan penahanan empat lelaki warga tempatan berusia 24 hingga 48 tahun.
“Polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk dadah jenis heroin dan tujuh peket plastik lutsinar berisi serbuk disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 4.99 kilogram.
”Turut dirampas tiga peket plastik lutsinar berisi daun-daun kering disyaki dadah jenis mushroom dan 544 batang rokok dalam kotak disyaki dadah jenis mushroom anggaran berat 942 gram dan lain-lain.Jumlah keseluruhan rampasan dadah ini dianggarkan bernilai RM66,215,” katanya.
Hamzah berkata, sindiket ini aktif sejak pertengahan 2024 dan dadah yang dirampas dipercayai mampu digunakan oleh 27,500 orang.
“Polis turut menyita kereta dan barang kemas dengan nilai sitaan RM153,000. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM219,215,” katanya kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -KOSMO! ONLINE