KUALA LUMPUR – Polis membongkar sebuah makmal dadah haram dan merampas dadah disyaki kokain dan bahan kimia dianggarkan bernilai RM8 juta dalam tiga serbuan secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Menerusi serbuan pertama, polis turut menahan seorang lelaki warga Hong Kong berusia 27 tahun yang turut memiliki dua pasport termasuk pasport British ketika sedang menolak troli di ‘loading bay’ di Pusat Perindustrian Kuala Lumpur, Jalan Klang Lama, di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya juga sedang menyiasat jika sindiket terbabit mempunyai kaitan dengan kartel Amerika Latin.
“Siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai tukang masak itu masuk ke Malaysia sebagai pelancong dan terlibat dengan sindiket berkenaan dipercayai mula aktif sejak awal Disember tahun lalu.
“Kami juga sedang siasat jika ia ada kaitan dengan kartel Latin Amerika atau sindiket-sindiket lain yang terlibat dalam pengedaran dan pemprosesan kokain,” katanya ketika sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan dalam serbuan pertama menjumpai bekas plastik lutsinar berisi cecair dan ketulan disyaki dadah jenis kokain anggaran seberat 2.57 liter (l) dan 2.19 kilogram (kg) selain pelbagai peralatan memproses dadah dalam kotak.
Dipandu arah oleh suspek pada pukul 6.30 petang pula katanya, serbuan diteruskan di sebuah premis di lokasi yang sama.
“Polis menemui pelbagai peralatan dan bahan kimia di syaki untuk memproses dadah dengan anggaran berat 3,517.25 l dan 104.9 kg.
“Pada pukul 7.40 malam pula, serbuan diteruskan di sebuah rumah di sekitar Segambut. Hasil pemeriksaan menjumpai bahan-bahan kimia disyaki untuk memproses dadah yang dianggarkan seberat 1l dan 3.2 kg,” ujarnya.
Tambah beliau, semakan rekod lampau mendapati suspek tiada rekod jenayah dan negatif dadah menerusi saringan awal air kencing.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula semalam sehingga 22 Januari,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE