PETALING JAYA – Sebatang pokok hujan-hujan (Enterolobium saman) yang dianggarkan berusia lebih 35 tahun tumbang di Jalan Pudu, berhadapan Wisma Magnum, semalam akibat pereputan akar.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan, kejadian sekitar pukul 10.40 pagi itu menyebabkan jalan tersebut tertutup sepenuhnya di kedua-dua hala, selain turut melibatkan sebuah kenderaan yang dinaiki dua wanita tempatan.
Katanya, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan awal daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
“Punca sebenar akan dikenal pasti oleh pihak DBKL dalam masa terdekat.
“Pemeriksaan ke atas pokok-pokok berhampiran di Jalan Pudu akan dilakukan bagi memastikan tahap keselamatannya,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam kejadian itu, seramai 40 kakitangan DBKL bersama anggota JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok.
“Laluan itu berjaya dibuka semula kepada pengguna pada pukul 2 petang,” kata DBKL.
DBKL memaklumkan bahawa langkah mitigasi terhadap pokok berisiko tinggi telah diambil sejak Jun tahun lalu, dengan pelantikan 21 kontraktor untuk menyelenggara pokok di seluruh Kuala Lumpur.
“Sehingga 31 Disember lepas, sejumlah 17,626 pokok telah dicantas dan dirawat melibatkan kesemua 11 parlimen di Kuala Lumpur.
“Penekanan khusus diberikan kepada pokok-pokok yang terletak di jalan utama, pusat bandar, kawasan perumahan dan taman rekreasi,” ujarnya.
DBKL komited dalam memastikan pemilihan spesies pokok yang sesuai, ruang penanaman mencukupi dan penyelenggaraan berkesan sebagai langkah jangka panjang menjaga landskap Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE