PNB disenarai kedudukan tertinggi dalam Dana Kekayaan Negara

19 hours ago 6

PETALING JAYA – Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah disenaraikan pada kedudukan tertinggi di Malaysia dan tempat ke-17 di peringkat global dalam kalangan Dana Kekayaan Negara (Sovereign Wealth Funds) pada Papan Skor SWF GSR (Governance, Sustainability and Resilience) 2025.

 Papan Skor GSR yang diterbitkan oleh Global SWF itu menilai lebih 200 institusi pelaburan milik negara di seluruh dunia, dengan menilai prestasi mereka dalam amalan tadbir urus, komitmen kelestarian dan daya tahan institusi mereka.

PNB memperoleh markah keseluruhan sebanyak 84 peratus, termasuk skor sempurna 10/10 dalam aspek kelestarian mengiktiraf tahap ketelusan, sasaran iklim strategik dan pengintegrasian ESG yang konsisten dalam operasi dan pelaburan.

Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rick Ramli berkata, kedudukan ini mencerminkan kemajuan ketara yang telah dicapai dalam usaha memperkukuhkan tadbir urus, menerapkan kelestarian dalam proses pelaburan dan meningkatkan daya tahan jangka panjang institusi.

Menurut beliau, prestasi PNB adalah sejajar dengan kemajuan 10 Komitmen ESG yang diperkenalkan pada tahun 2022 sebagai panduan kepada perjalanan kelestarian organisasi. 

Antara pencapaian penting setakat ini termasuklah komitmen #1: Perusahaan Sifar Bersih Menjelang 2025, yang mana PNB terus mengurangkan jejak karbon operasinya melalui strategi Reduce, Replace, Offset (R2O) yang merangkumi inisiatif kecekapan tenaga dan pengurangan sisa, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, dan menggalakkan amalan tempat kerja lestari. 

Sehingga laporan terkini, PNB telah mencapai pengurangan sebanyak 98 peratus dalam pelepasan Skop 1 dan 2 berbanding garis dasar 2022 dan berada di landasan yang tepat untuk mencapai komitmen Perusahaan Sifar Bersih menjelang 2025.

Komitmen #2: Portfolio Sifar Bersih Menjelang 2050, ia dipandu oleh sasaran iklim interim menjelang tahun 2030, PNB akan terus meningkatkan usaha untuk penyahkarbonan portfolio pelaburannya. 

“Ini termasuk perancangan strategik syarikat dalam portfolio untuk meningkatkan aspirasi iklim dan ketelusan terhadap strategi serta pelan penyahkarbonan, mengintegrasikan pertimbangan iklim ke dalam pengundian proksi dan menerapkan tingkah laku pelaburan prihatin karbon dalam proses membuat keputusan.

“ Melalui usaha-usaha ini, kami sasarkan untuk membina portfolio pelaburan yang berdaya tahan terhadap iklim yang dapat menyokong dan pertumbuhan nilai jangka panjang selaras dengan peralihan kepada ekonomi rendah karbon.

Komitmen #3: RM10 Bilion dalam Aset Hijau dan Peralihan Baharu menjelang 2030,  PNB telah menggerakkan sebanyak RM5.5 bilion sehingga kini ke dalam pelaburan yang sejajar dengan agenda hijau dan peralihan, termasuk bangunan hijau, tenaga boleh diperbaharui dan pengangkutan bersih. 

Komitmen #4: Gaji Kehidupan Wajar PNB telah melaksanakan gaji kehidupan wajar di seluruh organisasinya pada tahun 2023, bagi memastikan semua pekerja menerima imbuhan yang adil untuk memenuhi keperluan asas kehidupan. 

“Pada tahun ini, kami memperluaskan usaha pemantauan kami kepada syarikat strategik untuk menggalakkan pelaksanaan gaji kehidupan wajar.

Selaras dengan inisiatif GEAR-uP oleh Kerajaan, kami berhasrat untuk menggalakkan syarikat pelaburan agar menerima pakai komitmen gaji kehidupan wajar bagi merangsang budaya imbuhan yang lebih progresif dalam kalangan korporat Malaysia.

“Pencapaian kedudukan ini mengiktiraf usaha yang telah kami laksanakan untuk menerapkan amalan bertanggungjawab dan kelestarian dalam perniagaan serta pelaburan kami. 

“Ia juga menjadi pendorong untuk kami mencipta nilai jangka panjang bagi pemegang unit dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia secara menyeluruh, selaras dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat merentas generasi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |