LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola tidak bercadang untuk mengubah pendekatan pasukan menjelang aksi separuh akhir Piala FA menentang Nottingham Forest di Stadium Wembley malam ini.
Walaupun mereka dilihat berdepan masalah untuk mengekalkan prestasi dalam saingan Liga Perdana Inggeris ketika ini, namun Guardiola percaya pendekatannya untuk aksi separuh akhir kali ini bakal membuahkan hasil.
“Memenangi Piala FA tidak akan menjadi isyarat atau petanda kepada kami untuk kembali berada pada tahap seperti sebelum ini. Saya tidak akan membuat perubahan kerana situasi sekarang boleh berlaku kepada semua pasukan di seluruh dunia.
“Saya rasa kami akan jadi lebih baik musim depan,” katanya yang berdepan kemungkinan menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi buat kali pertama sejak menyertai City.
Bagaimanapun, kemenangan ke atas Forest akan memastikan final ketiga City di pentas Piala FA, namun lawan mereka itu juga pasti cukup bersemangat memandangkan ini adalah separuh akhir pertama buat mereka selepas kali terakhir melakukannya pada musim 1990/91.
Dalam pertemuan terakhir, City tewas 0-1 kepada Forest dan Guardiola sedar cabaran menanti para pemainnya pada perhitungan kali ini.
“Adalah sesuatu yang bagus untuk layak ke final buat kali ketiga, namun kami akan berdepan lawan yang sukar. Nuno Espirito Santo (pengendali Forest) telah melakukan tugasnya dengan hebat,” katanya.
Dalam masa sama, Guardiola sedia memberi tugas khas buat tonggak tengahnya, Rodri dan mengakui pemain itu ada kemampuan untuk berperanan sebagai ‘jurulatih’ kepada rakan sepasukannya.
“Saya sukakan perkara ini, walaupun dia tidak boleh bermain kerana masih cedera, saya benarkan dia jadi ‘pengurus’. Saya cukup mengenali Rodri dan dia mampu untuk bantu rakan sepasukan.
“Ini cara untuk membina keserasian antara pemain. Apabila ada pemain yang tidak boleh bermain, dia masih boleh membantu rakan lain yang akan menjalankan tanggungjawab atas padang,” katanya. – AGENSI