Piala FA: Forest tidak sabar mahu tamatkan penantian

10 hours ago 9

LONDON – Pengurus Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo sedar tanggungjawab besar menantinya untuk mengulangi kejayaan mara ke final yang dilakukan 34 tahun lalu.

Bagaimanapun, Espirito Santo melabel tiada sebarang kelainan akan dilakukan pada perlawanan separuh akhir menentang Manchester City malam ini kerana menganggap aksi ini tiada beza dengan perlawanan liga yang sentiasa menjanjikan cabaran getir.

“Tiada apa yang akan berbeza dalam persiapan kami kerana saya mengekalkan cara sama. Kami tahu perlawanan ini cukup sukar dan kami perlu menikmati setiap detik dalam perlawanan ini.

“Kepentingan perlawanan ini adalah sama seperti perlawanan yang lepas, mahu pun aksi akan datang. Jadi, pendekatan yang saya akan lakukan kekal sama,” katanya.

Pada pentas final Piala FA musim 1991, Forest bergelar naib juara selepas tewas 1-2 kepada Tottenham Hotspur dan harapan terhadap Espirito Santo pastinya untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian ini.

Forest juga kini sedang bersaing hebat untuk mendapatkan slot ke Liga Juara-Juara musim depan bagi mengulangi kejayaan layak ke pertandingan utama Eropah buat kali pertama sejak 1980.

“Kemenangan ke atas Spurs dalam aksi sebelum ini nyata membantu kami untuk kembali bangkit dengan aksi lebih baik. Pemain juga berada dalam keadaan bagus dan kami cukup yakin untuk hadapi perlawanan kali ini,” jelasnya.

Perlawanan dengan The Citizens kali ini juga seakan jadi perhitungan peribadi antara kedua-dua pengurus, Espirito Santo dan Pep Guardiola memandangkan keduanya sedang bersaing hebat untuk menamatkan Liga Perdana Inggeris di tangga ketiga.

Cabaran penting buat Espirito Santo juga menjurus kepada memperkukuhkan pertahanan memandangkan City dilihat cukup tajam ketika ini apabila berjaya menjaringkan sembilan gol dalam tiga perlawanan terakhir. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |