Pesara guru diumpan keuntungan RM13 juta, sebelum rugi RM174,435

1 week ago 15

KUANTAN – Kegembiraan seorang pesara guru yang mendapati pelaburannya sebanyak RM60,000 telah meningkat kepada kira-kira RM13.2 juta bertukar duka apabila dia mengalami kerugian sebanyak RM174,435.06 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 30 Oktober tahun lalu selepas mangsa yang merupakan lelaki betumur 80 tahun menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan pelaburan Crypto Currency Trading.

“Mangsa telah membuat pelaburan hampir RM60,000 dan memantau pelaburannya melalui aplikasi SILEGX yang mana dari Oktober 2024 sehingga Februari 2025 mangsa mendapati pelaburannya meningkat sehingga USD 3 juta.

“Mangsa telah meminta untuk keluarkan semua wang namun mangsa diminta untuk membayar cukai sebanyak RM174,435.06,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya telah membuat satu transaksi sebanyak RM174,435.06 ke dalam akaun yang telah diberikan oleh suspek.

Katanya, mangsa sedar ditipu selepas didesak untuk membuat bayaran cukai dengan jumlah yang lebih besar.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mangsa mengalami kerugian sebanyak RM174,435.06 melibatkan wang simpanan mangsa.

Dalam pada itu katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

” Orang ramai juga dinasihatkan sekiranya menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |