PETALING JAYA – Mempersendakan atau menghina agama lain adalah perbuatan yang dilarang di sisi Islam, tidak beretika dan boleh menjejaskan keharmonian sosial.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, setiap agama mempunyai nilai dan prinsip yang dihormati oleh penganutnya.
Katanya, sebagai sebuah masyarakat majmuk rakyat Malaysia perlu saling menghormati kepelbagaian ini sebagai satu kekuatan yang menyatukan bukan memecahbelahkan.
“Malaysia adalah negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan budaya.
“Menghormati kepercayaan orang lain adalah asas kepada kehidupan yang harmoni,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan kandungan bersifat provokatif atau menghina agama lain di media sosial kerana perbuatan itu bukan sahaja boleh menyakiti hati penganut agama berkenaan malah berpotensi mencetuskan ketegangan sosial.
Katanya, pihaknya turut menasihatkan masyarakat supaya lebih peka dan bertanggungjawab dalam setiap perkongsian di media sosial dengan mempertimbangkan kesannya terhadap keharmonian masyarakat.
“Selain itu, nilai toleransi juga perlu diamalkan, bukan sekadar bertolak ansur tetapi juga menghargai dan memahami perbezaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa agar sebarang kandungan yang menghina atau mempersendakan agama dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau platform media sosial berkenaan.
Mohamed Azam berkata, pihaknya mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk memanfaatkan media sosial secara positif bagi membina perpaduan dan keharmonian, bukannya mencetuskan perpecahan.
Terdahulu media melaporkan, tiga penyampai radio iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani menerusi satu klip video telah menyinggung perasaan penganut Hindu dipercayai mempersenda tarian kavadi. – KOSMO! ONLINE