IPOH – Kerajaan Perak terus memperkukuh kedudukan kewangannya apabila sekali lagi merekodkan lebihan pendapatan atau surplus berjumlah RM85 juta bagi tahun 2025.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pencapaian itu membuktikan kerajaan negeri berjaya mengurus tadbir Perak dengan baik hasil kestabilan ekonomi dan politik yang kukuh.
“Alhamdulillah, berkat kestabilan ekonomi dan politik, kita dapat mengurus negeri dengan baik. Kedudukan kewangan kita juga semakin kukuh sehingga mampu merekodkan surplus atau lebihan untuk tiga tahun berturut-turut.
“Insya-Allah, angka-angka terkini menunjukkan, sebaik kita menutup buku kewangan, kita akan sekali lagi merekodkan surplus bagi tahun 2025 sebanyak RM85 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 peringkat negeri di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya di sini semalam.
Menurut Saarani, tahun 2025 bukanlah tempoh yang mudah sebaliknya merupakan tahun yang menuntut kerja keras dan kesabaran semua pihak.
Beliau berkata, tahun 2025 juga membuktikan bahawa Perak tidak lagi bergantung kepada kekuatan sejarah, sebaliknya berani melaksanakan pembaharuan demi mencapai kejayaan, termasuk melalui pelan Perak Sejahtera 2030 yang menjadi panduan membina masa depan negeri.
“Kita pernah berada di jurang keruntuhan dengan defisit RM78 juta. Kita pernah terpaksa mengurangkan perbelanjaan akibat poket kerajaan negeri yang menyusut teruk dan melihat derita rakyat yang hilang pekerjaan dan mata pencarian.
“Tetapi, dalam dua tiga tahun kebelakangan ini, kita bangkit memperkukuh ekonomi dengan membuka lebih banyak peluang dan membawa pelaburan yang mampu mencipta pekerjaan, sekali gus membantu anak tempatan khususnya golongan muda membina masa depan,” katanya.
Tambah Saarani, semakin ramai pihak kini memberi tumpuan terhadap pelaksanaan projek berimpak tinggi yang dijalankan kerajaan negeri.
Katanya, antara projek yang giat dibangunkan itu termasuk Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) di Manjung, Perak Halal Industrial Park (HIP) di Lekir, Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan dan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Kerian.
“Kesungguhan kita diakui oleh kerajaan Persekutuan apabila sebahagian besar projek-projek ini diangkat dalam Belanjawan 2026 dan Rancangan Malaysia Ke-13.
“Ini menunjukkan keyakinan bahawa ia adalah perancangan masa hadapan yang mampu memberi limpahan manfaat kepada rakyat, negeri dan juga negara,” katanya.
Pada sambutan ambang tahun baharu itu, lebih 30,000 pengunjung hadir menantikan detik 12 tengah malam sambil dihiburkan persembahan hiburan termasuk oleh penyanyi, Siti Nurdiana. – KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
25

![[VIDEO] Rupa-rupanya dia nak jadikan bumi Anbiya itu rumahnya – Suami Nadia Kesuma](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/Tangkap-layar-video-Muhammad-Kamarul-tengah-bersama-pihak-Nuh-Travel-semasa-di-KLIA-Sepang-sebelum-berlepas-ke-Jeddah-petang-tadi..jpeg)












































